Ahad, 17 April 2016 | 12:35pm

FINA kekal gantung sementara Yulia Efimovato

YULIA Efimovato.
YULIA Efimovato.

PARIS: Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) menolak rayuan atlet Russia, Yulia Efimovato yang mahu penggantungannya ditarik semula.

Efimova, 24, digantung sementara bulan lalu selepas positif mengambil dadah terlarang jenis meldonium.

Dia kemudian mengemukakan rayuan rasmi kepada FINA bertujuan membenarkannya mengambil bahagian dalam satu kejohanan kelayakan di Russia.

FINA dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa Efimova tidak akan dibenarkan mengambil bahagian sehingga sesi bicara ke atasnya selesai dijalankan.

"Panel FINA tetap dengan pendirian mengekalkan penggantungan sementara ke atas Yulia Efimova (RUS) selaras dengan keputusan yang diambil oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) yang mengharamkan penggunaan meldonium.

"FINA tidak akan mengeluarkan sebarang ulasan mengenai kes ini sehingga satu keputusan muktamad dikeluarkan oleh Panel Doping FINA,'' kata kenyataan berkenaan.

Efimova menang gangsa dalam acara 200 meter kuak dada Olimpik 2012 di London mengakui mengambil meldonium bagi tujuan perubatan sebelum WADA mengharamkan dadah berkenaan pada 1 Januari lalu.

Kelmarin, WADA mengumumkan bahawa atlet yang digantung sementara sebelum Mac lalu mungkin terlepas daripada hukuman berkenaan selepas pihaknya gagal menemui bukti saintifik tempoh sebenar dadah berkenaan luput daripada tubuh penggunanya.

Setakat ini, seramai 172 atlet diuji positif meldonium termasuk bintang tenis Russia, Maria Sharapova.

Efimova, yang pernah digantung beberapa tahun lalu pernah memenangi acara 100 meter kuak dada dalam Kejohanan Dunia di Russia tahun lalu. - Agensi

Berita Harian X