Ahad, 10 April 2016 | 11:05am

Golf Masters: Tiga pemain kejar Spieth

AKSI Jordan Spieth yang melakukan pukulan kedua pada lubang ke-18 pada hari ketiga kejohanan Masters, di Augusta National, hari ini. - Foto EPA
AKSI Jordan Spieth yang melakukan pukulan kedua pada lubang ke-18 pada hari ketiga kejohanan Masters, di Augusta National, hari ini. - Foto EPA

AUGUSTA: Jordan Spieth mudah mengetepikan Rory McIlroy dalam pertembungan hari ketiga Masters yang dinanti-nantikan, namun mendapati dirinya kini bakal berdepan ancaman besar daripada tiga pencabar susulan pukulan hambar pada lubang terakhir.

Juara bertahan berusia 22 tahun itu turun beraksi dengan kelebihan satu pukulan berbanding jaguh Ireland Utara McIlroy pada permulaan aksi.

Tetapi harapan melihat pertarungan sengit membabitkan mereka tidak menjadi kenyataan apabila Spieth menamatkan saingan dengan lima pukulan di depan pencabarnya itu yang dalam usaha memburu gelaran kelima Grand Slam.

Spieth dari Amerika Syarikat (AS) cuba menjadi pemain keempat menjuarai saingan Masters buat tahun kedua berturut-turut, merakam satu di atas par 73 untuk mengumpul keseluruhan tiga di bawah par 213, mendahului kejohanan buat kali ketujuh berturut-turut, empat terhasil daripada aksi tahun lalu apabila dia memenangi gelaran major pertama.

Walaupun kerap membuat pukulan tee yang kurang berkesan, dia tetap melangkah ke pusingan terakhir dengan kelebihan satu pukulan ke atas tiga pemain di kelompok kedua iaitu pemain AS, Smylie Kaufman; Hideki Matsuyama (Jepun) dan Bernhard Langer (Jerman).

JORDAN Spieth berjabat tangan dengan Rory McIlroy selepas menamatkan pusingan ketiga kejohanan golf The Masters di Augusta National, Georgia, hari ini. - Foto Reuters
JORDAN Spieth berjabat tangan dengan Rory McIlroy selepas menamatkan pusingan ketiga kejohanan golf The Masters di Augusta National, Georgia, hari ini. - Foto Reuters

Ia mungkin boleh menjadi lebih baik buat Spieth, tetapi dia gagal mengekalkan kelebihan itu selepas melakukan bogey berganda di lubang ke-18.

"Saya berada dalam posisi yang mana saya mahu berada selepas 54 lubang dan lebih baik saya berfikir sebegitu berbanding dengan cara saya menamatkan permainan hari ini," katanya.

"Saya bermain lebih baik berbanding catatan yang dilakukan. Ia posisi yang sukar untuk memulakan aksi dengan kelebihan empat pukulan dan kini peluang terbuka buat semua pemain."

Ketika Spieth terpaksa menahan gementar untuk mempertahankan kejuaraan Masters - namun ternyata pemain veteran Langer yang mencuri tumpuan dalam aksi pagi tadi.

Pemain berusia 58 tahun yang juga bekas pemenang dua kali, membuat penampilan ke-33 dalam saingan Masters, memulakan hari ketiga dengan ketinggalan lima pukulan di belakang Spieth iaitu pemain yang lebih muda 36 tahun daripadanya.

Namun kejayaan mencatat dua di bawah par 70 yang terhasil daripada tiga birdie berturut-turut bermula daripada lubang ke-13 membantunya mengekalkan peluang mencipta sejarah muncul pemenang tertua saingan major. - AFP

Keputusan hari ketiga:

213 - Jordan Spieth (USA) 66-74-73

214 - Smylie Kaufman (USA) 73-72-69

215 - Hideki Matsuyama (JPN) 71-72-72, Bernhard Langer (GER) 72-73-70

216 - Jason Day (AUS) 72-73-71, Dustin Johnson (USA) 73-71-72, Danny Willett (ENG) 70-74-72

217 - Lee Westwood (ENG) 71-75-71, Brandt Snedeker (USA) 71-72-74, Soren Kjeldsen (DEN) 69-74-74

218 - Daniel Berger (USA) 73-71-74, Rory McIlroy (NIR) 70-71-77

219 - Justin Rose (ENG) 69-77-73, J.B. Holmes (USA) 72-73-74, Angel Cabrera (ARG) 73-73-73

220 - Emiliano Grillo (ARG) 71-75-74, Jimmy Walker (USA) 71-75-74, Matt Kuchar (USA) 75-73-72, Billy Horschel (USA) 70-77-73, Louis Oosthuizen (RSA) 72-77-71, Chris Wood (ENG) 72-73-75, Paul Casey (ENG) 69-77-74

Berita Harian X