Selasa, 8 March 2016 | 11:10pm

Piala AFC: Tampines Rovers kecewakan skuad Zainal

PEMAIN Selangor, Patrick Ronaldinho Wleh (kanan) diasak pemain Tampines Rovers, Mohammad Afiq Yunos pada saingan AFC di Stadium Selayang sebentar tadi. - Foto BERNAMA
PEMAIN Selangor, Patrick Ronaldinho Wleh (kanan) diasak pemain Tampines Rovers, Mohammad Afiq Yunos pada saingan AFC di Stadium Selayang sebentar tadi. - Foto BERNAMA

SELAYANG: Selangor terus kempunan untuk meraih tiga mata dalam saingan Piala AFC apabila tunduk 1-0 kepada Tampines Rovers pada aksi di Stadium Selayang sebentar tadi.

The Red Giants yang merehatkan beberapa tonggak menerima padah apabila gol tunggal Fazrul Nawaz Shahul Hameed membolehkan 'The Stag' pulang dengan tiga mata penuh.

Pelawat terlebih dahulu menguji gawang Selangor namun rembatan Mohd Hafiz Abu Sujad ditangkap kemas Noorazlan Razali.

Tetapi, Azmi Muslim nyaris menghadiahkan gol sendiri buat pelawat pada minit ke-16 namun berjaya dikeluarkan oleh Shahrom Kalam.

Seminit berselang, Selangor kemudiannya beroleh peluang untuk menjaringkan gol pembukaan namun volinya sekadar tersasar.

Tampines Rovers akhinya meledak gol pembukaan menerusi jaringan Fazrul Nawaz Shahul Hameed yang menguis hantaran Irwan Shah untuk kedudukan 1-0 pada minit ke-27.

Tuan rumah bermula garang pada separuh masa kedua dengan melakukan empat percubaan dalam tempoh tujuh minit namun gawang Tampines Rovers yang dikawal Mohd Izwan Mahbud sukar dibolosi.

Pelawat nyaris menggandakan kelebihan apabila menerusi rembatan Irwan Shah namun cubaannya melewati palang pada minit ke-64.

Sepakan percuma pada minit ke-71 untuk Selangor gagal dimanfaatkan oleh Mohd Hafiz Kamal untuk memburu gol penyamaan dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan pasukan V Sundramoorthy itu mengungguli kumpulan E dengan enam mata sementara The Red Giants kekal di tangga ketiga.

Berita Harian X