Isnin, 7 March 2016 | 11:03am

Scott juarai Kejohanan Golf Dunia Cadillac

ADAM Scott menjuarai Kejohanan Golf Dunia Cadillac. - Foto Reuters
ADAM Scott menjuarai Kejohanan Golf Dunia Cadillac. - Foto Reuters

MIAMI: Selepas dihimpit dua bogey berganda pada lima lubang pertama, bintang golf Australia, Adam Scott bangkit melakukan enam birdie pada sembilan lubang berikutnya sekali gus menjuarai Kejohanan Golf Dunia Cadillac, sebentar tadi.

Ia kemenangan kedua berturut-turut pemain berusia 35 tahun itu selepas turut menjuarai kejohanan PGA Honda Classic, dua minggu lalu dan menambah koleksi kejuaraannya kepada 29.

Scott melakukan 69 pukulan pada pusingan terakhir untuk catatan keseluruhan 12 bawah par 276 mengatasi juara Masters dua kali, Bubba Watson dengan kelebihan satu pukulan di lapangan Doral Blue Monster.

"Saya rasa inilah permainan saya sejak beberapa minggu lalu dan saya mahu mengekalkannya untuk beberapa minggu lagi," kata Scott yang pernah menjuarai gelaran Major, Masters pada 2013.

"Untuk meraih kemenangan berganda sesuatu yang hebat. Saya harap meneruskannya."

Pendahulu hari ketiga dan juga pemain Ireland, Rory McIlroy dan pemain England, Danny Willett berkongsi kedudukan ketiga selepas melakukan 278.

Pemain berusia 45 tahun yang juga juara Major lima kali, Phil Micklelson pula kelima selepas menamatkan saingan dengan 279.

Kemenangan dijangka melonjakkan kedudukan ranking dunia Scott dari tempat kesembilan ke tangga keenam.

Bagi Watson, kejohanan yang dijalankan di Doral dianggap antara paling mencabar buatnya.

"Ia amat sukar. Ini adalah Blue Monsters. Mereka mahu ia jadi sukar seperti ini. Ia adalah ujian yang sukar," kata pemain dari Amerika Syarikat itu. - AFP

Keputusan hari terakhir:

276 - Adam Scott (AUS) 68-66-73-69

277 - Bubba Watson 69-69-71-68

278 - Danny Willett (ENG) 68-69-72-69, Rory McIlroy (NIR) 71-65-68-74

279 - Phil Mickelson 67-72-70-70

280 - Jimmy Walker 69-72-73-66

282 - Paul Casey (ENG) 71-68-75-68

283 - Rickie Fowler 70-71-71-71, Smylie Kaufman 71-70-71-71

284 - Harris English 71-70-71-72

285 - Jason Dufner 68-72-77-68, Rafa Cabrera Bello (ESP) 73-71-67-74, Sergio

Garcia (ESP) 73-71-67-74

286 - Bernd Wiesberger (AUT) 72-69-74-71, Louis Oosthuizen (RSA) 74-70-69-73, Dustin Johnson 72-64-71-79

287 - Justin Rose (ENG) 75-73-72-67, Jordan Spieth 69-72-73-73, Andy Sullivan (ENG) 71-70-73-73, Scott Piercy 66-77-70-74, Charl Schwartzel (RSA) 73-67-72-75, Charley Hoffman 68-70-74-75

288 - Branden Grace (RSA) 73-73-74-68, Brooks Koepka 71-71-74-72, Jason Day (AUS) 72-74-71-71, Kevin Kisner 75-69-72-72

289 - Russell Knox (SCO) 71-71-72-75

Berita Harian X