Jumaat, 4 March 2016 | 10:56pm

Chong Wei harap gandingan Kien Keat-Boon Heong disenaraikan

KUALA LUMPUR: Pemain nombor dua dunia, Datuk Lee Chong Wei mengharapkan bekas beregu emas negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong disenaraikan dalam skuad kebangsaan ke Piala Thomas, pada Mei ini.

Chong Wei yang akan mengetuai pasukan negara ke pusingan akhir piala itu di Kunshan, China dari 15 hingga 21 Mei ini, mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka pintu kepada pemain profesional seperti Kien Keat dan Boon Heong bagi memantapkan cabaran Malaysia.

"Kita perlukan barisan terkuat, pemain profesional yang terbukti berwibawa wajar dipertimbangkan.

"BAM belum umumkan lagi senarai skuad Piala Thomas negara. Saya harap pasukan itu nanti akan dapat buat yang lebih baik. Mungkin ini adalah penampilan terakhir saya di Piala Thomas," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Chong Wei juga berharap pemain profesional termasuk Kien Keat dan Boon Heong dapat mempamerkan prestasi cemerlang dalam beberapa kejohanan mendatang untuk dipilih dalam skuad Piala Thomas.

"Saya rasa BAM mungkin akan beri peluang kepada mereka. Kita perlu ada pasukan yang kuat. Tetapi mereka juga perlu menunjukkan prestasi terbaik. Bagi saya, sesiapa sahaja (dalam BAM ataupun tidak) layak beraksi untuk negara, yang penting mereka perlu buktikan kemampuan mereka," katanya.

Malaysia muncul naib juara Piala Thomas edisi 2014 selepas tewas kepada Jepun 3-2 di New Delhi, India.

Skuad lelaki dan wanita negara layak beraksi di pusingan akhir Piala Thomas dan Uber berdasarkan kedudukan ranking dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas gagal layak secara merit di Kejohanan Berpasukan Asia di India, bulan lepas.

Berikut adalah senarai pasukan lelaki dan wanita yang akan beraksi dalam Piala Thomas dan Uber:

Senarai Pasukan:

Piala Thomas:

Jepun (juara bertahan), China (tuan rumah), India, Indonesia, Korea Selatan, MALAYSIA, Denmark, Jerman, England, Perancis, Mexico, New Zealand, Afrika Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Thailand.

Piala Uber:

China (tuan rumah dan juara bertahan), India, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Denmark, Jerman, Sepanyol, Bulgaria, Amerika Syarikat, Australia, Mauritius, Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan MALAYSIA.

-- BERNAMA

Berita Harian X