Jumaat, 4 March 2016 | 9:51am

Fraser, Piercy laung amaran awal

MARCUS Fraser dan Scott Piercy.
MARCUS Fraser dan Scott Piercy.

MIAMI: Jordan Spieth memenangi pertarungan "Big Three" tetapi Scott Piercy dan Marcus Fraser yang mendahului di papan utama selepas pusingan pertama Kejohanan Cadillac di Doral, di sini awal pagi tadi.

Fokus pada Kejohanan Golf Dunia itu kepada Spieth, Jason Day dan Rory McIlroy - tiga pemain ranking teratas dunia yang diletakkan dalam satu kumpulan bagi dua pusingan awal.

Pemain nombor satu dunia, Spieth mencatat lima birdie dengan tiga bawah par 69 yang menyebabkan dia ketinggalan tiga pukulan daripada tempat teratas.

Pemain ranking ketiga, McIlroy mencatatkan 71 pada pengakhiran yang menyaksikan dia melakukan dua bogey lima di par tiga lubang kesembilan - di mana bolanya terjatuh ke dalam air.

Pemain nombor dua dunia, Day mengakhiri saingan dengan par 72 yang menyaksikan dia melakukan empat birdie dan empat bogey.

Dia kemudian dipintas rakan senegara dari Australia, Fraser yang baru memenangi Kejohanan Maybank di Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

Fraser melakukan tujuh birdie dan berada di kedudukan baik untuk terus mendahului sebelum dia melakukan satu bogey di lubang penting, par lima lubang kelapan, yang menyebabkan dia terikat dengan pemain Amerika Syarikat Piercy, yang mencatatkan lapan birdie untuk memperoleh enam bawah par 66. - AFP

Keputusan pusingan pertama:

66 - Scott Piercy (AS), Marcus Fraser (AUS)

67 - Phil Mickelson (AS)

68 - Danny Willett, Adam Scott (AUS), Jason Dufner, Charley Hoffman (AS)

69 - Jordan Spieth, Jimmy Walker, Bubba Watson (AS)

70 - Hideki Matsuyama (JPN), Jamie Donaldson (WAL), Anirban Lahiri (IND), Rickie Fowler, Matt Kuchar (AS)

71 - Kim Kyung-Tae (KOR), Andy Sullivan (ENG), Rory McIlroy (NIR), Danny Lee (NZL), Shane Lowry (IRL), Harris English, Zach Johnson, Brooks Koepka, Henrik Stenson (SWE), Smylie Kaufman, Russell Knox (SCO), Paul Casey (ENG).

Berita Harian X