Jumaat, 12 Februari 2016 | 11:00am

Reavie atasi Spieth, Day pada pusingan pertama

CHEZ Reavie, Jordan Spieth dan Jason Day.
CHEZ Reavie, Jordan Spieth dan Jason Day.

LOS ANGELES: Pemain Amerika Syarikat (AS), Chez Reavie merakam lapan bawah par 63 sebentar tadi untuk mencipta kejutan ke atas dua bintang yang sering menjuarai acara major, Jordan Spieth dan Jason Day dalam pusingan pertama Jelajah PGA Pebble Beach Pro-Am.

Reavie melakar satu eagle dan tujuh birdie dengan diimbangi satu bogey di lapangan par-71 Monterey Peninsular, satu daripada tiga lapangan yang digunakan sepanjang pertandingan selain par-72 Pebble Beach Golf Links dan par-72 Spyglass Hill.

Bintang nombor satu dunia Spieth, pemenang Masters dan Terbuka AS tahun lalu, membuka aksi dengan catatan satu-bawah 71 di Spyglass Hill, dan catatan sama turut dilakukan pemenang Kejuaraan PGA, Day dari Australia.

"Sedikit lemah," kata Spieth merujuk kepada aksi pusingan pertamanya, selepas membenam empat birdie sambil diimbangi tiga bogey.

Day pula yang membuat tee-off di lubang ke-10 Spyglass merakam tiga bogey dan dua birdie dalam sembilan lubang pertama. Dia kemudian berjaya menutup cabaran bawah par selepas melakukan dua birdie selepas itu.

Pemain Sweden, Freddie Jacobson yang mengutip lima birdie pada enam lubang pertama lapangan Pebble Beach dan menambah dua birdie kemudiannya berpuas hati dengan catatan tujuh-bawah 65 untuk berkongsi tangga kedua bersama Cameron Smith dari Australia dan Bronson Burgoon (AS).

Keputusan Hari Pertama

-8 Chez Reavie (AS) 63

-7 Fredrik Jacobson (SWE) 65, Cameron Smith (AUS) 64 Bronson Burgoon (AS) 64

-6 Spencer Levin (AS) 66, Dawie Van der Walt (AFR) 66, Justin Rose (BRI) 66, Roberto Castro (AS) 66, Ricky Barnes (AS) 65, Shane Bertsch (AS) 66, J B Holmes (AS) 66

-5 Ryan Ruffels (AUS) 67, Jason Gore (AS) 66, Hiroshi Iwata (JEP) 66, Rhein Gibson (AUS) 67

-4 Thomas Aiken (AFR) 68, Jonas Blixt (SWE) 67, Steven Bowditch (AUS) 68, Tom Gillis (AS) 67, Matt Jones (AS) 68, Sean O'Hair (AS) 67, Kevin Na (AS) 67, David Hearn (KAN) 67, Troy Merritt (AS) 67, Phil Mickelson (AS) 68, Paul Dunne (IRE) 67, Bud Cauley (AS) 68, Brooks Koepka (AS) 68

Berita Harian X