Khamis, 4 Februari 2016 | 6:38pm

Usah pandang mudah Nepal, Sri Lanka - BAM

PEMANGKU Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid dan Ahli Majlis BAM, Datuk William Toh Ah Wah. - Foto BERNAMA
PEMANGKU Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid dan Ahli Majlis BAM, Datuk William Toh Ah Wah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengingatkan skuad muda yang beraksi di Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Hyderabad, India untuk tidak memandang mudah cabaran pasukan Nepal dan Sri Lanka.

Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid, berkata tidak ada istilah lawan mudah dan pemain harus menganggap setiap pasukan yang dihadapi mampu memberi saingan.

"Setiap pasukan, sama ada Jepun atau Nepal mahupun Sri Lanka, kita kena anggap sebagai cabaran besar. BAM tidak mahu pemain merasakan Nepal dan Sri Lanka sebagai lawan mudah," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan latihan pusat skuad berkenaan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Beliau juga tidak menafikan skuad negara akan berdepan laluan sukar mara ke pusingan akhir Piala Thomas kerana diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Jepun.

"Ia adalah undian yang baik tapi kita mesti terima hakikat ini adalah juga kelayakan Piala Thomas, semua orang main untuk menang. Kita tidak boleh ambil kira sama ada lawan itu adalah pasukan pilihan ataupun tidak," katanya.

Kejohanan BATC itu turut menawarkan slot ke pusingan akhir Piala Thomas serta Piala Uber yang akan dilangsungkan di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

Skuad wanita negara juga menghadapi laluan getir untuk menempah tiket ke pusingan akhir Piala Uber selepas diundi bersama penyandang juara, China dan Hong Kong.

Mohamed Al-Amin berkata, secara keseluruhannya BAM berpuas hati dengan semangat berpasukan yang ditampilkan pemain muda semasa latihan pusat itu.

Pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli akan mengetuai cabaran perseorangan lelaki bersama juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi.

Mengulas mengenai kelayakan ke Sukan Olimpik Rio, Mohamed Al-Amin berkata pemain masih mempunyai masa sehingga April ini untuk menempah slot ke temasya sukan berprestij itu.

Beliau percaya pemain negara berada pada landasan yang tepat walaupun ketika ini belum ada pemain yang layak kecuali Datuk Lee Chong Wei yang berada dalam keadaan lebih selesa untuk ke Rio nanti.

- BERNAMA

Berita Harian X