Ahad, 24 Januari 2016 | 10:07pm

Fowler menang Kejuaraan Abu Dhabi

PEMAIN kelahiran Amerika Syarikat (AS), Rickie Fowler. - Foto Reuters
PEMAIN kelahiran Amerika Syarikat (AS), Rickie Fowler. - Foto Reuters

ABU DHABI: Rickie Fowler menafikan kebangkitan lewat Rory McIlroy dan pemain Belgium, Thomas Pieters untuk menjuarai golf Kejuaraan Abu Dhabi dengan kelebihan satu pukulan, kemenangan keempatnya dalam tempoh lapan bulan, sebentar tadi.

Kejayaan terbaru pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu dalam kejohanan yang disertai juara kejohanan Terbuka AS, Jordan Spieth dan juara Major empat kali, McIlroy dijangka akan meletakkannya namanya di kedudukan keempat dalam ranking golf dunia.

Bintang golf Ireland, McIlroy melakukan 68 pukulan pada pusingan terakhir termasuk melakukan tiga birdie dan eagle pada jarak 30 kaki (9.14 meter) pada lubang ke-18 dengan catatan keseluruhan 14 bawah par 274.

Begitupun, Fowler membalasnya dengan melakukan birdie pada lubang ke-17 sebelum meleret senyuman apabila menamatkan pusingan terakhir dengan 69 pukulan 16 bawah par 272 keseluruhan.

Gandingannya, Pieters turut menampilkan permainan baik namun cubaan untuk melakukan eagle pada jarak 25 kaki (7.62 meter) gagal apabila bola hanya kurang beberapa inci daripada lubang.

Pieters melakukan 67 pukulan, sekali gus ketinggalan satu pukulan dengan catatan 273 keseluruhan. - Reuters

Berita Harian X