Isnin, 4 Januari 2016 | 12:52am

Chong Wei akur kehebatan Srikanth

CHONG Wei tumpas kepada pemain handalan India, K Srikanth pada Liga Badminton Premier di Mumbai hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
CHONG Wei tumpas kepada pemain handalan India, K Srikanth pada Liga Badminton Premier di Mumbai hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

NEW DELHI: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei tumpas kepada pemain handalan India, K Srikanth pada Liga Badminton Premier di Mumbai hari ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang mewakili Hyderabad Hunters kalah kepada Srikanth, yang berada di ranking kesembilan dunia, 12-15, 15-6 dan 7-15.

Bagaimanapun, pasukannya menang 3-2 ke atas Bengaluru Hot Guns pada kejohanan berlangsung selama dua minggu itu, yang menawarkan hadiah USD1 juta (RM4.3 juta)bagi pasukan yang muncul juara.

Sementara itu, pasangan negara Hoon Thien How/Kim Wah Lim yang mewakili Bengalaru Hot Guns, juga tumpas kepada gandingan Carsten Mogensen dari Denmark dan pemain Indonesia Markis Kido.

Beregu negara itu kecundang 13-15, 15-9 dan 15-14 dalam aksi yang sengit.

Hyderabad sudahpun memenangi saingan berkenaan sebelum pertarungan antara Srikanth menentang Lee, apabila memenangi dua daripada tiga perlawanan awal.

Namun, kemenangan tersebut adalah paling sensasi bagi pemain India itu yang belum pernah menewaskan jaguh Malaysia itu dalam empat pertarungan terdahulu di peringkat antarabangsa.

Chong Wei adalah pemain menerima bayaran paling mahal pada kejohanan berkenaan apabila Hyderabad Hunters mendapatkan khidmatnya dengan bayaran USD100,000 (kira-kira RM420,000).

Dalam pada itu, Koo dibayar oleh Bengalaru Hot Guns sebanyak USD36,000 (kira-kira RM151,200), manakala Tan mendapat USD30,000 (kira-kira RM126,000).

Pusingan awal kejohanan itu bermula di Mumbai semalam dan pusingan akhir ialah pada 17 Jan di New Delhi.

Keputusan

Hyderabad Hunters tewaskan Bengaluru Top Guns 3-2:

Suo Di mn Supanida Katethong 15-8, 15-11;

Carsten Mogensen/Markis Kido mn Hoon Thien How/Kim Wah Lim 13-15, 15-9, 15-14;

P Kashyap mn Sameer Verma 15-14, 15-13;

Jwala Gutta/Kido kk kepada Ashwini Ponnappa/Joachim Fischer Nielsen 13-15, 13-15;

Lee Chong Wei kk kepada Kidambi Srikanth 12-15, 15-6, 7-15 - BERNAMA

Berita Harian X