Isnin, 7 Disember 2015 | 9:45am

Watson juarai Cabaran Dunia Hero

PEMAIN olf Amerika Syarikat, Bubba Watson menjuarai cabaran Dunia Hero di Resort Albany, Miami. - Foto AF
PEMAIN olf Amerika Syarikat, Bubba Watson menjuarai cabaran Dunia Hero di Resort Albany, Miami. - Foto AF

MIAMI: Juara dua kali Masters, Bubba Watson merakam enam bawah par 66 pagi tadi, untuk merangkul gelaran Cabaran Dunia Hero di Bahamas dengan kelebihan tiga pukulan.

Pemain berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat itu, yang menjuarai saingan Augusta pada 2012 dan 2014, menyambar acara jemputan membabitkan 18 pemain yang dihoskan Tiger Woods itu dengan keseluruhan 25 bawah par 263 Resort Albany.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang wang kemenangan bernilai AS$1 juta (RM4.2 juta) selain mengukuhkan ranking keempat dunianya.

Seorang lagi rakan senegaranya, Patrick Reed menutup cabaran di kedudukan kedua dengan 266 pukulan selepas mencatat 66 sepusingan diikuti Rickie Fowler yang mencatat 64 sepusingan untuk kekurangan satu pukulan di belakangnya.

Selain itu, juara bertahan yang juga pemenang Terbuka AS, Jordan Spieth sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan catatan keseluruhan 20-bawah par 268 selepas melakukan sepusingan 67.

Watson membenam birdie berturut-turut pada tiga situasi berbeza - lubang ke-2 serta 3 dan lubang ke-6 serta 7 dan dua lubang pertama pada sembilan lubang terakhir.

Dia yang jelas gembira dengan kemenangan luar biasa itu menjelaskan sebenarnya beberapa bulan lalu dia pernah menolak jemputan untuk menyertai kejohanan itu kerana tidak mempunyai pasport buat anaknya yang baharu dilahirkan, Dakota sebelum isterinya dapat menyelesaikan masalah dokumen untuk ke Bahamas.

"Saya rasa saya patut berterima kasih kepada Jason Day yang memberi idea. Saya juga patut berterima kasih kerajaan AS dan pejabat yang mengeluarkan pasport untuk Dakota bagi membolehkan kami semua berada di sini. Untuk kami ia perjalanan yang menakjubkan," katanya. -AFP

Berita Harian X