Rabu, 2 Disember 2015 | 11:15pm

Kedah bangkit ikat FELDA United 2-2

SELAYANG: Kedah dua kali bangkit menyamakan kedudukan untuk mengikat FELDA United 2-2 pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), sebentar tadi.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mendahului dua kali pada setiap babak, namun anak buah Ramon Marcote bangkit mengutip dua gol tempat lawan sebagai bekal pada aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului permainan menerusi penyudah kemas Thiago Augusto yang berjaya melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Mohd Hadin Azman untuk gol ketujuhnya dalam kempen Piala Malaysia musim ini, menjadikan kedudukan 1-0 buat FELDA United pada minit ke-13.

Tersentak dengan gol pembukaan FELDA United, Kedah mula mengatur serangan lebih kemas, namun rembatan Sandro Da Silva pada minit ke-17 dan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-33 tidak mendatangkan masalah buat penjaga gol, Mohd Farizal Harun.

Namun, 36 minit perlawanan berlangsung, pelawat akhirnya menyamakan kedudukan menerusi gol kontroversi selepas tandukan Sandro Da Silva hasil hantaran lintang Mohd Syazwan seakan ditepis keluar Mohd Farizal dari dalam kawasan golnya sendiri dan meskipun dibantah pemain FELDA United, pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajudin, membenarkan jaringan terbabit, menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-36.

FELDA United hampir memperoleh gol kedua pada minit ke-40 namun lencongan yang dibuat Thiago terlalu tinggi sehingga melewati palang dan kedudukan kekal terikat 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, gol kedua yang dinanti nantikan akhirnya menjadi milik FELDA United selepas Thiago sekali lagi berjaya melepasi perangkap ofsaid Kedah sebaik menerima hantaran Zah Rahan Krangar sebelum tenang menggelecek penjaga gol Kedah, Mohamad Firdaus untuk menolak bola ke dalam gawang kosong untuk membolehkan FELDA United mendahului 2-1 pada minit ke-54.

Ketinggalan satu gol, Kedah berterusan melancarkan serangan ke arah gawang gol FELDA United dan Mohd Syazwan sekali lagi menjadi perancang untuk gol kedua Helang Merah selepas hantarannya daripada sebelah kiri pintu gol ditampan masuk Chidi Edeh untuk gol keenamnya dalam saingan Piala Malaysia, mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-62.

Berita Harian X