Ahad, 1 November 2015 | 3:06pm

Thomas juara golf CIMB Classic 2015

PEMAIN golf dari Amerika Syarikat, Justin Thomas membuat pukulan di lubang ke-7 pada Kejohanan Golf CIMB Classic di Kuala Lumpur Golf & Country Club hari ini. - Foto BERNAMA
PEMAIN golf dari Amerika Syarikat, Justin Thomas membuat pukulan di lubang ke-7 pada Kejohanan Golf CIMB Classic di Kuala Lumpur Golf & Country Club hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain Amerika Syarikat, Justin Thomas merangkul kejuaraan golf CIMB Classic di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), di sini, sebentar tadi.

Dia berjaya melakukan par pada jarak enam kaki pada lubang terakhir untuk mengenepikan tercabar terdekat, Adam Scott dengan kelebihan satu pukulan.

Ini adalah kejuaraan PGA pertama bagi pemain berusia 22 tahun itu.

Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai US$1.26 juta (RM5.40 juta) dan trofi kejohanan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada aksi hari terakhir itu, Thomas mencatatkan 6 di bawah par 66 untuk keseluruhan dengan catatan rekod kejohanan 26 di bawah par 262.

Terdahulu, dia mencatatkan double bogey pada lubang 14 selepas bolanya masuk air, sebelum bangkit semula dengan melakukan tiga birdie berturut-turut untuk menerajui kembali barisan pendahulu.

Scott pada pusingan akhir hari ini mencatatkan satu eagle dan tujuh birdie untuk keseluruhan catatan 63.

Dua lagi pencabar kejuaraan, Kevin Na dan Brendan Steele terikat di tempat ketiga dengan catatan 24 di bawah keseluruhan. Hari ini Na mencatatkan 67 manakala Steele, 68.

Thomas memulakan saingan pada hari pertama dengan catatan 68, 61 (hari kedua), sebelum mencatat 67 pada hari ketiga semalam untuk berkongsi pendahulu dengan Steele. - AP

Berita Harian X