X
Ahad, 1 November 2015 | 8:00am

Chia fobia 3 lubang saingan CIMB Classic

PEMAIN profesional Malaysia, Danny Chia. - Foto BERNAMA
PEMAIN profesional Malaysia, Danny Chia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pemain profesional Malaysia, Danny Chia berharap dapat mengatasi fobia pada 'tiga lubang' di sebelah barat lapangan Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) pada pusingan akhir CIMB Classic hari ini.

Pada pusingan semalam, pemain berusia 42 tahun itu sekali lagi melakar pukulan sama, satu bawah par 71 untuk berkongsi kedudukan ke-59 bersama lima pemain lain, dengan catatan terkumpul selama tiga hari, tiga bawah par 213.

Beliau gagal mencipta pukulan yang lebih baik di lubang ke-11, 12 dan 13.

Menjelang pusingan akhir hari ini, Chia berharap beliau dapat memperbaiki pukulan di ketiga-tiga lubang berkenaan.

"Saya bukan pakar pukulan jauh, jadi tiada perancangan berbeza bagi saya. Hanya ada satu cara untuk saya...saya perlu cuba membuat seberapa banyak pukulan yang baik di lubang-lubang tersebut, dan berharap dapat mengatasinya," katanya.

"Saya selalu berasa saya mampu melakukan dengan lebih baik jika tidak kerana lubang-lubang itu, tetapi saya tidak boleh banyak merungut. Setiap hari saya kembali beraksi dengan lebih baik dengan catatan di bawah par," katanya.

Chia berkata beliau akan berpuas hati jika dapat melakar lima atau enam bawah par pada pusingan akhir hari ini.

Pemain Malaysia lain adalah Ben Leong dan Muhamad Arie Irawan Ahmad Fauzi, yang masing-masing menduduki tempat ke-72 dan 75.

Leong yang melakukan 'tee-off' dari lubang ke-10, bermula dengan pukulan birdie, tetapi mula bergelut apabila tercicir empat bogey berturut-turut dari lubang ke-11, dan pada saingan sembilan lubang kedua, beliau melakukan satu bogey dan satu double bogey serta dua birdie.

Sementara itu, Muhamad Arie Irawan yang juga membuat 'tee-off' dari lubang ke-10, berjaya memperbaiki mata pada pusingan ketiga apabila mengumpul par 72, selepas mencatat lima birdie, tiga bogey dan satu double bogey.

-- BERNAMA

Berita Harian X