Jumaat, 30 Oktober 2015 | 6:12pm

Thomas kuasai hari kedua CIMB Classic

Pemain Amerika Syarikat, Justin Thomas membuat pukulan dilubang 18 pada pusingan kedua Kejohanan Golf CIMB Classic 2015 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC). - Foto Hasriyasyah Sabudin.
Pemain Amerika Syarikat, Justin Thomas membuat pukulan dilubang 18 pada pusingan kedua Kejohanan Golf CIMB Classic 2015 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC). - Foto Hasriyasyah Sabudin.

KUALA LUMPUR: Pemain Amerika Syarikat, Justin Thomas melonjak ke tangga teratas carta pendahulu daripada berkongsi kedudukan ke-17 semalam, untuk memiliki kelebihan satu pukulan di hari kedua saingan golf CIMB Classic, hari ini.

Thomas, 22, dari Louisville, Kentucky melakukan catatan terendah hari ini dengan 11 bawah par 61 untuk catatan keseluruhan 129.

Dia melakukan lima birdie di sembilan lubang pertama sebelum menambah empat lagi birdie serta satu eagle di sembilan lubang kedua.

"Ia sudah pasti hari yang hebat. Ini adalah hari di mana segala-galanya begitu menjadi buat saya tetapi ia tidak selalu berlaku.

"Saya bermula dengan baik. Saya berada lima bawah par selepas lima lubang. Lima atau enam lubang pertama itu agak mudah untuk mencuri pukulan dan saya melakukannya dengan baik," kata Thomas yang menjadi pemain pro pada 2013.

Dia pernah memenangi satu gelaran Jelajah PGA apabila menjuarai Kejohanan Nationwide Children's Hospital pada 2014.

Mengekori rapat dengan satu pukulan di belakang adalah Brendan Steele yang mencatat sembilan bawah par 63 di pusingan kedua ini.

Steel turut cemerlang dengan mengumpulkan tujuh birdie serta satu eagle di lokasi sama Thomas melakukannya iaitu lubang ketiga di sembilan lubang keduanya.

"Ia sentiasa bagus menamatkan pusingan dengan melakukan birdie...ketika ini semua pukulan saya agak menjadi. Ia lebih baik berbanding kali terakhir saya beraksi di kejohanan ini pada 2013.

"Permainan saya berbeza sedikit berbanding kali terakhir di sini. Ianya lebih baik," kata Steel yang sudah memenangi sembilan gelaran profesional termasuk satu kejuaraan Jelajah PGA - Terbuka Valero Texas pada 2011.

Sementara itu, tiga pemain - Scott Piercy, Spencer Lenvin dan Hideki Matsuyama -- terikat di tangga ketiga dengan catatan keseluruhan 13 bawah par 131.

Pendahulu hari pertama, Piercy bermula dengan baik apabila melakukan tiga birdie berturut-turut sebelum menambah satu lagi di sembilan lubang pertamanya.

Namun aksinya di sembilan lubang kedua agak menurun apabila melakukan dua bogey sehingga menjejaskan catatannya.

"Saya bermula dengan baik dibantu putting yang tepat. Selepas itu cuaca panas memberi kesan sehingga saya melakukan beberapa kesilapan.

"Selepas itu saya perlu berhempas pulas. Saya masih dalam saingan tetapi amat jelas saya harus melakukannya dengan lebih baik," kata Piercy.

-- BERNAMA

Berita Harian X