Khamis, 1 Oktober 2015 | 10:43am

Man United, City cipta kemenangan, Ronaldo lakar rekod

PEMAIN Real Madrid, Cristiano Ronaldo (depan) diasak oleh pemain Malmo FF, Jo Inge Berget pada aksi kumpulan A, Liga Juara-Juara di Swedbank Stadion, Malmo, awal pagi tadi. Real Madrid menang 2-0. - Foto AFP
PEMAIN Real Madrid, Cristiano Ronaldo (depan) diasak oleh pemain Malmo FF, Jo Inge Berget pada aksi kumpulan A, Liga Juara-Juara di Swedbank Stadion, Malmo, awal pagi tadi. Real Madrid menang 2-0. - Foto AFP

PARIS: Dua kelab gergasi Manchester melakar kemenangan untuk hari yang gembira buat England dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi dengan prestasi cemerlang bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo terus mencuri tumpuan.

Manchester United dan City begitupun terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan masing-masing 2-1 bertemu kelab Jerman, Wolfsburg dan Borussia Moenchengladbach.

Kemenangan itu ,jelas melegakan peminat bola sepak di England kerana 24 jam sebelum itu, dua wakil mereka Chelsea dan Arsenal masing-masing menderita kekalahan.

Bekas pemain Man United, Ronaldo, dalam pada itu meledak gol ke-500 sepanjang kariernya, sekali gus menyamai jumlah gol dimiliki legenda, Raul Gonzalez bersama Real iaitu 323 gol.

Kelab gergasi Sepanyol itu mencatat kemenangan 2-0 menentang Malmo di Sweden.

Man United dan City mencatatkan kekalahan pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara sebelum ini.

AKSI pemain Manchester United, Daley Blind, Chris Smalling dan Bastian Schweinsteiger ketika berebut bola dengan pemain Wolfsburg, Naldo dan Josuha Guilavogui di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters
AKSI pemain Manchester United, Daley Blind, Chris Smalling dan Bastian Schweinsteiger ketika berebut bola dengan pemain Wolfsburg, Naldo dan Josuha Guilavogui di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Beraksi di laman sendiri, Old Trafford, Man United begitupun terpaksa bangkit daripada ketinggalan apabila Daniel Caligiuri meletakkan Wolfsburg di depan seawal minit keempat permainan.

Begitupun, penalti Juan Mata kembali menyamakan kedudukan buat Man United sebelum babak pertama berakhir diikuti jaringan menarik Chris Smalling pada awal babak kedua.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan B, kelab Russia, CSKA Moscow menewaskan PSV Eindhoven 3-2.

Man City dalam pada itu perlu berterima kasih kepada Sergio Aguero yang meledakkan jaringan kemenangan menerusi penalti untuk menewaskan Gladbach 2-1 diBorussia-Park dalam aksi Kumpulan D.

Pada aksi pertama, Man City tumbang kepada Juventus.

Gladbach juga terlebih dulu di depan menerusi jaringan Lars Stindl sembilan minit selepas babak kedua bermula namun Man City menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Otamendi sebelum Aguero muncul pemusnah.

Juventus dalam pada itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sevilla di Turin hasil jaringan Alvaro Morata danSimone Zaza. - AFP

Berita Harian X