Rabu, 30 September 2015 | 6:20pm

Platini tetap rebut jawatan presiden FIFA

MICHEL Platini . - Foto AFP
MICHEL Platini . - Foto AFP

PARIS: Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini menegaskan dia akan meneruskan hasrat bertanding jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), biarpun namanya dikaitkan siasatan jenayah terhadap badan induk itu.

Legenda bola sepak Perancis itu memberitahu AFP dia `tidak melakukan sebarang kesalahan' dan mempertahankan bayaran 2 juta dolar AS (RM Juta) yang diperolehnya daripada Presiden FIFA, Sepp Blatter.

Platini yang dilihat antara calon pilihan untuk jawatan itu terus mempertahankan diri, sekalipun laporan membabitkan dirinya dan Blatter dijangka dibawa kepada siasatan oleh Jawatankuasa Etika Bebas FIFA.

"Saya masih bertekad meletakkan diri saya sebagai calon Presiden FIFA supaya dapat memperkenalkan pembaharuan terhadap persatuan dan usaha mengembalikan kredibiliti bola sepak dunia," kata Platini.

Pendakwa Raya Switzerland berkata, mereka menyiasat sama ada Blatter meluluskan bayaran 'tidak setia' kepada Platini.

Wang yang dibayar adalah untuk kerja yang dilakukan di antara tahun 1998 dan 2002 namun bayaran yang dilakukan hanya dibuat pada 2011.

Platini yang mengetuai UEFA sejak 2007 berkata, badan induk itu tidak membayarnya lebih awal kerana mereka tidak mampu.

"Tiada sebarang keraguan mengenai kejujuran saya. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Kerana itu saya membuatkan diri saya untuk memberi kerjasama penuh kepada badan yang berkaitan dan pihak berkuasa untuk melakukan apa saja yang perlu.

"Saya digaji FIFA sebagai penasihat istimewa kepada Presiden Sepp Blatter, bekerja dalam pelbagai perkara membabitkan bola sepak, seperti kalendar dalam bola sepak antarabangsa.

"Ia adalah kerja sepenuh masa," kata Platini. - AFP

Berita Harian X