Selasa, 29 September 2015 | 2:12pm

Blatter enggan letak jawatan Presiden FIFA

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter. - Foto AFP
PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter. - Foto AFP

LAUSANNE: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter menegaskan, dia tidak akan meletakkan jawatan meskipun dijadikan sasaran terhadap siasatan jenayah di Switzerland atas kesalahan kegagalan pengurusan.

"Presiden Blatter bercakap kepada staf FIFA hari ini dan mengumumkan kepada mereka yang dia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Dia mengulangi mengatakan dia tidak pernah melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang atau perkara tidak sepatutnya dan menyatakan bahawa beliau akan kekal sebagai Presiden FIFA," kata kenyataan yang dikeluarkan peguam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Richard Cullen.

Pendakwa Raya Switzerland berkata, Blatter adalah sasaran terhadap siasatan "jenayah kegagalan pengurusan" di FIFA dengan fokus terarah kepada penjualan hak penyiaran televisyen kepada Kesatuan Bola Sepak Caribbean serta bayaran kepada Platini.

Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini dikatakan menerima bayaran 2 juta dolar AS (RM8.88 juta) daripada FIFA.

Platini sudah disoal oleh penyiasat Switzerland namun tidak dinamakan sebagai orang yang dituduh.

Siasatan itu menghantar kejutan baharu kepada bola sepak dunia yang terjerumus ke dalam krisis dan skandal penyelewengan sejak Mei lalu apabila Jabatan Keadilan mendapati 14 orang terbabit dalam rasuah bola sepak membabitkan jumlah melebihi 150 juta dolar AS (RM665.85 juta) sejak 1991.

Empat hari selepas mengekalkan kedudukan selaku presiden, Blatter kemudian mengumumkan akan meletakkan jawatan apabila sesi pemilihan baharu yang dijadual pada Februari nanti.

Begitupun, laporan media berkata Jawatankuasa Etika Bebas FIFA diramal akan melancarkan siasatan yang membawa kepada penggantungan Blatter dan Platini.

Peguam Negara Switzerland ketika mengumumkan siasatan terbaharu itu berkata bayaran yang dibuat kepada Platini pada 2011 itu mungkin tidak sah. - AFP

Berita Harian X