Selasa, 29 September 2015 | 10:01am

PDRM, PKNS terikat di Shah Alam

PEMAIN PKNS, Gabriel Miguel Guerra (kiri) diasak pemain PDRM, Shahruain Abu Samah ketika perlawanan peringkat kumpulan D Piala Malaysia TM 2015 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
PEMAIN PKNS, Gabriel Miguel Guerra (kiri) diasak pemain PDRM, Shahruain Abu Samah ketika perlawanan peringkat kumpulan D Piala Malaysia TM 2015 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal mencipta kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia 2015 apabila seri 1-1 menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Keputusan itu menyaksikan 'The Cops' menduduki tangga tercorot Kumpulan D apabila hanya mengumpul dua mata selepas seri dua perlawanan dan kalah satu, manakala PKNS FC memintas Pulau Pinang untuk berada di tempat kedua dengan kelebihan jaringan selepas berkongsi empat mata.

Skuad 'The Fire Ants' membuka jaringan seawal minit ke-19 menerusi rembatan jauh pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra untuk menewaskan penjaga gol PDRM, Badrulzaman Abdul Halim.

Namun, kegembiraan pasukan pelawat sedikit terganggu apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-30 selepas pemain pertahanan, Abdul Ghani Rahman dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zulkifli Ahmad kerana menampan bola menggunakan tangan di hadapan pintu gol, selain PDRM dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah gagal menyamakan kedudukan apabila sepakan penalti oleh penyerang import dari Mali, Dramane Traore berjaya ditepis keluar penjaga gawang PKNS FC, G. Jeevanathan.

Bersambung babak kedua, PDRM berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain import dari Maldives, Ali Ashfaq pada minit ke-51.

Pada minit ke-62, Patrick Ronaldinho Wleh hampir meletakkan skuad kendalian E. Elavarasan di hadapan, namun tandukan kencangnya sedikit tersasar dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus masih optimis dengan kemampuan pasukannya untuk layak ke peringkat kalah-mati, dengan saingan peringkat kumpulan berbaki tiga perlawanan.

"Pasukan PKNS bertahan dengan baik walaupun bermain dengan 10 pemain. Jentera serangan kita tumpul apabila keadaan terdesak dan kekurangan idea untuk mencari gol," katanya selepas perlawanan aksi itu malam tadi.

Sementara itu, Elavarasan memuji pemainnya yang berjaya mencuri satu mata dalam perlawanan itu walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh yang panjang.

"Dalam saingan Kumpulan D, satu mata pun sangat penting kerana peluang dalam kumpulan ini masih terbuka. Serangan PDRM memang bahaya tetapi kami berjaya bertahan walaupun hilang seorang pemain," katanya.

Pahang mendahului carta Kumpulan D dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan sebelum tewas 1-4 kepada Pulau Pinang, Sabtu lepas.

Dalam aksi Kumpulan D seterusnya pada Sabtu ini, PDRM akan berdepan Pahang di Stadium Shah Alam, manakala PKNS FC akan menerima kunjungan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - BERNAMA

Berita Harian X