Rabu, 23 September 2015 | 12:13pm

Kesalahan Costa biasa ketika saya masih bermain - Pele

LEGENDA bola sepak Brazil, Pele (kanan) ketika memperkatakan perihal Diego Costa.
LEGENDA bola sepak Brazil, Pele (kanan) ketika memperkatakan perihal Diego Costa.

LONDON: Penyerang penuh muslihat Chelsea, Diego Costa sekadar digelar 'budak nakal' berbanding pakar kejahatan ketika era 1950-an dan 1960-an, kata legenda bola sepak Brazil, Pele.

Costa yang lahir di Brazil namun memilih untuk mewakili Sepanyol di peringkat antarabangsa digantung tiga perlawanan kerana dua kali mengasari pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny ketika kedua-dua kelab bertembung, Sabtu lalu.

Ini bukan kali pertama bekas penyerang Atletico Madrid itu berdepan hukuman namun Pele, yang pernah menerima terjahan keras daripada pemain Portugal pada Piala Dunia 1966 sehingga berdepan kecederaan serius menyifatkan kesalahan dilakukan Costa tidak dapat dibandingkan dengan hukuman ketika eranya.

"Dengar, bagi saya perkara ini adalah biasa," kata Pele sambil tersenyum ketika ditanya wartawan AFP.

"Saya menderita sepanjang hidup saya dengan kawalan yang baik. Dia adalah pemain yang baik, semua orang mengetahuinya.

"Penyerang yang menggigit orang lain, Luis Suarez lebih teruk berbanding ini."

Pele yang dianggap salah seorang pemain terbaik dunia sepanjang zaman ditemui ketika pelancaran pameran sempena ulang tahunnya yang ke-75 pada 23 Oktober ini.

Dipanggil "Seni, Kehidupan dan Bola Sepak", pameran di Galeri Halcyon London itu menampilkan karya seni yang memaparkan detik-detik kejayaan sepanjang kerjaya mengagumkan Pele termasuk potret yang dibuat pada 1977 oleh perintis seni pop, Andy Warhol.

Sambil mengakui gembira melihat perkembangan dua bintang, Neymar dan Lionel Messi ketika ini, Pele begitupun dengan mudah memberi jawapan kepada soalan siapakah pemain di era moden yang mampu mengingatkan dia tentang dirinya.

"Saya sentiasa berkata; 'Dengar, semua orang mahu mencari Pele yang baharu. Ia adalah mustahil. Emak dan bapa saya sudah tutup kilang. Tiada lagi," katanya. - AFP

Berita Harian X