Sabtu, 22 Ogos 2015 | 7:09pm

Tiada puak dalam MOM, ini bukan politik - Tunku Imran

TAN Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar terus mengekalkan jawatan selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). - Foto Zunnur Al Shafiq
TAN Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar terus mengekalkan jawatan selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM). - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berjaya mempertahankan jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas mengalahkan Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dengan kelebihan 22 undi pada pemilihan bagi penggal 2015/2017 di sini, hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai Timbalan Presiden baharu selepas mengalahkan penyandang Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dengan kelebihan 52 undi.

Pada pemilihan sempena Perhimpunan Agung Tahunan MOM, Tunku Imran memperoleh 63 undi berbanding 41 untuk Mohd Anwar manakala Mohd Norza menewaskan Mohamad Noor 78-26 dalam pertandingan satu lawan satu.

"Ini bukan soal saya dipilih semula sebagai presiden tetapi dipilih bersama barisan kepimpinan yang hebat, yang saya percaya boleh memberi kerjasama dan komited untuk MOM.

"Saya tidak sabar untuk menempuh cabaran ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa tidak ada puak dalam MOM. Ini bukan politik tetapi sukan," kata Tunku Imran, 67.

Tidak seperti sebelum ini, pemilihan kali ini menyaksikan kesemua jawatan dipertandingkan termasuk kerusi nombor satu badan induk persatuan sukan kebangsaan itu.

Pertandingan kali ini menyaksikan wujud dua kelompok kepimpinan yang cuba meraih perhatian dan undi daripada anggota gabungan yang terdiri daripada 35 persatuan sukan kebangsaan.

Mengenai muka baharu dan muda dalam barisan kepimpinan kali ini, Tunku Imran menyifatkannya sebagai gabungan yang mampu membawa perubahan ke arah kebaikan MOM.

"Saya berpendapat kami perlu melihat keupayaan setiap calon yang menang dan mengagihkan tanggungjawab mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing. Biar kita teruskan usaha menyatupadukan sukan.

"Saya ingin melihat setiap orang dalam keluarga MOM saling bergantung antara satu sama lain untuk melaksanakan banyak acara sukan dan kita akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017," katanya.

Dalam pada itu, Norza menyifatkan mandat yang diberikan oleh perwakilan menuntut beliau untuk bekerja keras dan membawa idea baharu dan perubahan kepada MOM.

"Calon-calon yang lain harus bersama bersatu dan sama-sama memikirkan bagaimana untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA yang terbaik pada 2017.

"Seterusnya mengambil inisiatif turun padang dan berjumpa dengan persatuan-persatuan sukan, melihat persediaan atlet dalam meneruskan program latihan mereka selepas Sukan SEA baru-baru ini," katanya.

Menyentuh mengenai jawatan lain yang disandangnya dalam persatuan-persatuan sukan yang lain, Mohamad Norza berkata dia mampu memberi masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan itu.

"Kebanyakan jawatan yang saya pegang ini adalah bersifat sukarela dan bukan eksekutif," kata Mohamad Norza. - Bernama

Berita Harian X