Sabtu, 22 Ogos 2015 | 3:48pm

Tunku Imran kekal terajui MOM, Norza Timbalan Presiden

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) pada sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) pada sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar terus mengekalkan jawatan selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2015/2017 pada sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu, hari ini.

Tunku Imran yang sudah 17 tahun memegang tampuk kepimpinan tertinggi MOM dicabar buat pertama kali oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Tunku Imran menang selepas memperoleh 63 undi berbanding Mohd Anwar yang menerima 41 undi.

Jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan perubahan apabila Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memperoleh kemenangan dengan undian besar 78 undi berbanding pencabarnya yang juga penyandang, Tan Sri Mohd Noor Abdul Rahim.

Mohd Noor yang dikhabarkan tidak berada dalam 'kem' Tunku Imran hanya memperoleh 26 undi.

Pemilihan MOM yang dijalankan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu dilihat ramai pemerhati sukan sebagai paling sengit dalam sejarah.

Berpecah kepada dua kem, kedua-dua kem dikatakan meletakkan calon masing-masing bagi semua 12 jawatan yang dipertandingkan untuk dipilih anggota gabungan MOM terdiri daripada 35 persatuan sukan kebangsaan.

Bagi jawatan Naib Presiden, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Mohd Nazifuddin Datuk Seri Mohd Najib membuat kejutan apabila menerima undian tertinggi dengan 75 undi.

Empat lagi kerusi jawatan Naib Presiden diisi Prof Datuk Dr Zakaria Ahamad, Datuk Mumtaz Jaffar, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Datuk Ong Poh Eng.

Bagi jawatan Setiausaha Kehormat, Datuk Low Beng Choo berjaya menewaskan Datuk Danyal Balagopal. Beng Choo mendapat 66 undi berbanding Danyal, 38.

Bekas Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dalam pada itu menang bagi pemilihan Penolong Setiausaha Kehormat (Lelaki) dengan Penolong Setiausaha Kehormat (Wanita) diisi Moira Tan Siew See.

Jawatan Bendahari pula dipegang Rosmanizam Abdullah dibantu Penolong Bendahari, Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin.

Berita Harian X