Isnin, 3 Ogos 2015 | 12:39pm

Pemain ke-180 dunia menang PGA, ketepi Fowler, Woods

TROY Merritt melakukan pukulan empat bawah par 67 yang dilengkapkan dengan birdie pada jarak 10.6 meter untuk menjuarai kejohanan Quicken Loans National. - Foto AP
TROY Merritt melakukan pukulan empat bawah par 67 yang dilengkapkan dengan birdie pada jarak 10.6 meter untuk menjuarai kejohanan Quicken Loans National. - Foto AP

GAINESVILLE, Amerika Syarikat (AS): Pemain golf AS, Troy Merritt melakukan pukulan empat bawah par 67 yang dilengkapkan dengan birdie pada jarak 10.6 meter untuk menjuarai kejohanan Quicken Loans National, di sini, awal pagi tadi.

Ia gelaran jelajah PGA pertama buat pemain kurang dikenali berusia 29 tahun itu yang berjaya menafikan saingan sengit daripada bintang golf AS, Rickie Fowler dan jaguh Sweden, David Lingmerth di pusingan terakhir.

Selepas memecahkan rekod lapangan, 61 pada Sabtu, Merritt menamatkan saingan 72 lubang di Kelab Golf Robert Trent Jones dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 266 dengan kelebihan tiga pukulan ke atas Fowler yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Lingmerth pula ketiga selepas melakukan 270.

"Saya benar-benar melakukan pukulan yang baik," kata Merritt. "Bertarung sehingga ke penghujungnya. Tahniah kepada Rickie. Ia pertarungan yang hebat bersama pemain yang hebat sehingga penghujung kejohanan."

Jaguh England, Justin Rose yang juga juara pada 2013 menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas melakukan 272, diikuti pemain New Zealand, Danny Lee, Carl Pettersson (Sweden) dan trio AS, Bill Haas, Justin Thomas serta Jason Bohn.

Pemain Jepun, Ryo Ishikawa pula ketinggalan satu pukulan di kedudukan ke-10.

Menghuni ranking ke-180 dunia, Merritt gagal melepasi pusingan cut dalam lima kejohanan sebelum ini dengan keputusan terbaik di Jelajah PGA ialah selaku naib juara di Memphis, tahun lalu selain berjaya melakukan pukulan rekod lapangan 61 di Heritage pada April.

Lingmerth dalam pada itu menjuarai Jelajah PGA pertamanya pada Jun lalu di Memorial manakala Fowler memenangi Kejuaraan Pemain-Pemain pada Mei dan Terbuka Scotland, bulan lalu.

Begitupun, kedua-duanya melakukan dua bogey sebelum lubang kesembilan di National dengan Merritt hanya melakukan sekali sebelum melakukan birdie pada lubang ke-16 dan 18 untuk melakar kemenangan. - AFP

KEPUTUSAN

266 - Troy Merritt 70-68-61-67

269 - Rickie Fowler 67-65-68-69

270 - David Lingmerth (SWE) 68-65-68-69

272 - Justin Thomas 66-71-68-67, Danny Lee (NZL) 67-67-69-69, Bill Haas 67-71-64-70, Justin

Rose (ENG) 66-71-65-70, Carl Pettersson (SWE) 70-68-64-70, Jason Bohn 67-67-67-71

273 - Ryo Ishikawa (JPN) 63-68-71-71

274 - Chad Campbell 68-70-69-67, Steve Wheatcroft 65-73-68-68, Kim Whee (KOR) 68-66-67-73, Charles Howell 67-67-67-73

275 - Greg Owen (ENG) 66-68-73-68, Brian Davis (ENG) 70-70-66-69, Ollie Schniederjans 66-69-68-72

276 - Tiger Woods 68-66-74-68, Jason Kokrak 71-68-67-70, Kevin Chappell 64-68-67-77

277 - Will Wilcox 68-71-70-68, Jimmy Walker 71-63-73-70, Hudson Swafford 68-72-67-70, Brice Garnett 69-65-72-71, Pat Perez 67-67-72-71, Adam Hadwin (CAN) 67-70-69-71, John Peterson 67-70-68-72, Cameron Tringale 68-69-67-73, Andres Romero (ARG) 69-69-67-72

- AFP

Berita Harian X