Selasa, 23 Jun 2015 | 5:45pm

Sasaran satu emas temasya Universiade Gwangju realistik

PUTRAJAYA: Sasaran satu pingat emas pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Gwangju, Korea Selatan dari 3 hingga 14 Julai ini adalah realistik, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiade bagi kontinjen negara, Hazally Jali.

Katanya, berdasarkan pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya sukan lain membabitkan atlet universiti negara di peringkat antarabangsa iaitu Kejohanan Sukan Universiti Dunia (WUC), sukan badminton dan memanah memiliki rekod cemerlang.

Badminton meraih pingat emas menerusi beregu lelaki, Iskandar Zulkarnain dan Mohd Arif Ab Latif pada WUC di Cordoba, Sepanyol tahun lalu, manakala trio memanah wanita negara meraih pingat perak di tempat yang sama pada 2012.

"Prestasi atlet negara sudah tinggi. Berdasarkan kejayaan mereka, ini peluang terbaik atlet negara meraih pingat emas pertama di Universiade.

"Selepas Sukan Olimpik, Universiade adalah sukan kedua terbesar penyertaannya di dunia. Atlet yang terbabit dari seluruh dunia kebanyakannya pernah menyertai Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Pendidikan, Datuk Nasir Mat Dam kepada Ketua kontinjen negara, Prof Dr Anuar Hassan di sini.

Pembawa Jalur Gemilang, Fatin Nurfatehah Mat Salleh adalah prospek pingat emas negara di Gwangju, selepas kejayaan cemerlang beliau meraih emas pada Piala Dunia di Shanghai dan tiga pingat emas di Sukan SEA Singapura baru-baru ini, bagi sukan memanah acara compound.

"Namun Iskandar tidak sertai Universiade kali ini kerana tidak dapat pelepasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi kita masih mempunyai Mohd Arif Ab Latif dan Zulfadli Zukifli (pemain perseorangan negara)," katanya.

Sebanyak 111 atlet negara akan mengambil bahagian dalam 15 acara sukan di Gwangju, dan 14 atlet adalah penyumbang pingat emas di Sukan SEA Singapura, bulan lalu.

Hazally berkata, KPM turut mengadakan ujian doping ke atas atlet terbabit secara rawak dan hasil keputusan terhadap 40 peratus atlet yang terpilih untuk menjalani ujian air kencing itu didapati negatif.

Sebagai rekod, atlet mahasiswa negara sekadar meraih satu pingat perak dan dua gangsa di Universiade Shenzen, China pada 2011 dan tiga pingat gangsa di Kazan, Rusia pada 2013. - BERNAMA

Berita Harian X