Isnin, 11 Mei 2015 | 11:20am

Golf: Fowler atasi Kisner, Garcia untuk menjuarai The Players

RICKIE Fowler bergambar bersama piala kemenangan selepas menjuarai kejohanan The Players. - Foto EPA
RICKIE Fowler bergambar bersama piala kemenangan selepas menjuarai kejohanan The Players. - Foto EPA

PONTE VEDRA BEACH, Amerika Syarikat: Rickie Fowler menjuarai kejohanan The Players dengan mengenepikan cabaran Sergio Garcia dari Sepanyol dan rakan senegara Amerika, Kevin Kisner pada playoff yang berlangsung sehingga empat lubang.

Ia adalah kemenangan pertama dalam tempoh tiga tahun bagi Fowler yang terselamat pada tiga lubang playoff awal sebelum mengatasi Kisner pada lubang sudden death di lubang ke-17 lapangan TPC Sawgrass.

"Saya terpaksa menunggu lama untuk ini," kata Fowler. "Bagi saya ini adalah sesuatu yang amat besar."

Fowler bermain enam lubang terakhir dengan 6 bawah par untuk catatan hari terakhir lima bawah par 67 dan keseluruhan 12 bawah par 276.

Pada lubang 17, pukulan tee Kisner melepasi lubang sebanyak 12 kaki manakala pukulan Fowler hanya kira-kira lima kaki.

Kisner gagal melakukan birdie tetapi Fowler memastikan birdie dan gelaran PGA kedua bagi dirinya.

Ben Martin dan Bill Haas mencatatkan 2 bawah par 70 untuk berkongsi tempat keempat dengan keseluruhan 11 bawah par 277.

Rory Sabbatini (69) dan Kevin Na (71) terikat di tempat keenam pada 9 bawah par manakala pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy menamatkan saingan dengan catatan 70 dan berkongsi tangga kelapan dengan keseluruhan lapan bawah par 280.

Tiger Woods menamatkan cabaran The Players dengan catatan terburuknya, iaitu par 72 untuk keseluruhan tiga pukulan melebihi par 291 dan berkongsi tempat ke-291.

Berita Harian X