Selasa, 14 April 2015 | 6:42pm
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Jurulatih skuad Kebangsaan Dollah Salleh semasa majlis cabutan undian rasmi pusingan kedua kelayakan Piala dunia Rusia 2018 (kelayakan Asia) di Hotel JW Marriot Bukit Bintang. - Foto Hasriyasyah Sabudin
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Jurulatih skuad Kebangsaan Dollah Salleh semasa majlis cabutan undian rasmi pusingan kedua kelayakan Piala dunia Rusia 2018 (kelayakan Asia) di Hotel JW Marriot Bukit Bintang. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Laluan sukar menanti Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Tiada Jepun, Korea Selatan atau Australia namun laluan sukar tetap menanti Harimau Malaya selesai undian kelayakan Piala Dunia 2019 dan Piala Asia 2018, hari ini.

Dalam undian yang dijalankan di ibu negara itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama dua negara yang boleh dianggap kuasa besar Asia iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Selain dua pasukan yang memiliki ranking di bawah 100 dunia itu, Palestin dan Timor-Leste melengkapkan lima pasukan yang berada dalam Kumpulan A itu dengan Malaysia berada di ranking terendah.

Pada undian yang membabitkan 40 pasukan itu, Malaysia yang menghuni ranking ke-164 dunia berada dalam Balang Lima bersama Hong Kong, Bangladesh, Yaman, Guam, Laos, Kemboja dan Taiwan.

Daripada lapan pasukan yang berada dalam Balang A, UAE berada di ranking kelima terbaik Asia di kedudukan ke-68 dunia manakala Arab Saudi di Balang B menghuni ranking ke-95 dunia.

Palestin pula berada di ranking ke-140 dunia berada dalam Balang Tiga dengan Timor-Leste di kedudukan ke-152 dunia di Balang Empat.

Juara kumpulan dan empat pasukan terbaik iaitu 12 pasukan akan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018.

Dua puluh empat pasukan terbaik seterusnya akan bersaing untuk merebut baki 12 tiket ke Piala Asia yang berlangsung di UAE pada tahun berikutnya.

Keputusan undian kelayakan Piala Dunia 2019 dan Piala Asia 2018

KUMPULAN A: UAE, Arab Saudi, Palestin, Timor-Leste, MALAYSIA

KUMPULAN B: Australia, Jordan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Bangladesh

KUMPULAN C: China, Qatar, Maldives, Bhutan, Hong Kong

KUMPULAN D: Iran, Oman, India, Turkmenistan, Guam

KUMPULAN E: Jepun, Syria, Afghanistan, Singapura, Kemboja

KUMPULAN F: Iraq, Vietnam, Thailand, Indonesia, Taiwan

KUMPULAN G: Korea Selatan, Kuwait, Lubnan, Myanmar, Laos

KUMPULAN H: Uzbekistan, Bahrain. Filipina, Korea Utara, Yaman

Berita Harian X