X
Sabtu, 13 September 2014 | 11:59am
AKSI Rory McIlroy . - EPA
AKSI Rory McIlroy . - EPA

Rory McIlroy makin rapat, Horschel dahului pusingan kedua

ATLANTA: Rory McIlroy membenamkan dua birdie pada dua lubang terakhir untuk merapatkan diri dengan dua pukulan di belakang pendahulu, Billy Horschel selepas tamat pusingan kedua Kejuaraan Jelajah PGA, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia dari Ireland Utara itu mencatat lima bawah par 65 di Kelab Golf East Lake di sini untuk berkongsi tempat kedua bersama Jason Day dan Chris Kirk dengan jumlah enam bawah par.

Kejayaan untuk McIlroy, 25, juga akan memberinya gelaran keseluruhan Piala FedEx bernilai STG6 juta (RM30 juta).

"Saya bertambah yakin dari tee-off lubang pertama dan juga yakin dengan hayunan saya," kata McIlroy.

Horschel dari Amerika Syarikat mencatat 66 untuk berada di atas dengan kelebihan lapan bawah par.

Pemenang Kejuaraan BMW, minggu lalu itu juga boleh menjulang Piala FedEx jika dia menang kejohanan di sini, esok.

Kejuaraan PGA ini adalah acara terakhir play-off Piala FedEx daripada jumlah empat dengan hanya berbaki 29 pemain ketika ini selepas angka itu dikurangkan daripada jumlah 125 sejak Hunter Mahan menjuarai acara pertama. - BBC Sports

Berita Harian X