Ahad, 2 Julai 2017 | 7:24pm

APMM buat pelayaran ihsan hantar pesakit

SAKIL Among, 58, selamat tiba di Jeti Marina Kudat sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
SAKIL Among, 58, selamat tiba di Jeti Marina Kudat sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melakukan pelayaran ihsan untuk membawa pesakit yang mengalami masalah pendarahan di paru-paru akibat dihempap kayu, di kebunnya, petang semalam.

Sakil Among, 58, dibawa menaiki Bot Adel 04 milik APMM dari Karakit, Pulau Banggi pada jam 6.40 petang, dan tiba di Jeti Marina, di sini pada jam 8.40 malam tadi, untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Kudat.

Mangsa dikatakan dihempap kayu ketika memotong kayu di kebunnya.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata bilik operasi APMM Kudat menerima panggilan kecemasan daripada doktor bertugas di Klinik Kesihatan Karakit, pada jam 5.25 petang.

"Sebaik sahaja menerima laporan itu, APMM Kudat bergegas menghantar operasi bantuan kecemasan ke lokasi kejadian dan tiba di Jeti Karakit, Pulau Banggi, seterusnya mangsa segera dipindahkan ke kapal.

"Sebaik tiba di Jeti Marina Kudat, pesakit terus dibawa ke hospital," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Zubil berkata, APMM bersedia pada setiap masa dalam memberi bantuan kepada masyarakat dan agensi serta jabatan kerajaan yang lain jika berlakunya kecemasan atau bencana.

Berita Harian X