Selasa, 11 Oktober 2016 | 3:19pm

APMM tahan 7 nelayan, rampas 400kg ikan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh nelayan dan merampas pelbagai jenis ikan seberat 400 kilogram yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan di perairan ini, malam tadi.

Semua nelayan berusia 20 hingga 50 tahun itu yang menaiki sebuah kapal ditahan bot peronda APMM, kira-kira 25 batu nautika dari perairan Kota Kinabalu, pada jam 11.15 malam.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata pemeriksaan lanjut ke atas kapal nelayan itu turut menemui bahan letupan dipercayai digunakan untuk aktiviti haram itu.

"Siasatan juga mendapati aktiviti pengeboman ikan dilakukan kumpulan nelayan terbabit antara Pulau Manukan hingga Pulau Gaya," katanya ketika ditemui di jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, siasatan ke atas semua suspek mendapati lima daripada mereka mempunyai dokumen meragukan, manakala dua lagi tiada dokumen sah.

Katanya, mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63.

Berita Harian X