Rabu, 22 March 2017 | 11:08am

Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Machang

DATUK Hanifa Ahmad. - Foto Syamsi Suhaimi
DATUK Hanifa Ahmad. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kelantan dibina di Bagan Estet, Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad, berkata lokasi berkenaan dianggap bersesuaian berikutan berada di antara laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Pasir Puteh.

Katanya, kawasan berkenaan mempunyai keluasan mencukupi membabitkan tanah seluas 800 hektar dan lokasi itu mampu dibangunkan dengan adanya lapangan terbang antarabangsa.

"Setakat ini kita mencadangkan tapak di lokasi berkenaan kerana lapangan sedia ada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa berdepan kesukaran berikutan keluasan terhad, " katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka), di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Mengenai projek pembesaran LTSIP Pengkalan Chepa, Hanifa berkata, projek naik taraf yang membabitkan kos sebanyak RM450 juta itu akan dimulakan Oktober ini.

"Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada 2020 dan menerusi pembesaran itu membolehkan LTSIP menampung kapasiti penumpang kepada empat juta, berbanding dua juta sebelum ini.

"Menerusi projek itu, LTSIP akan dibina dua tingkat iaitu di tingkat bawah adalah balai ketibaan manakala di tingkat atas dijadikan sebagai balai pelepasan.

"Usaha kita menerusi pembesaran LTSIP itu sebenarnya mahu menjadikan lapangan berkenaan sebagai lapangan terbang antarabangsa, namun berdepan kekangan berikutan keluasan yang terhad dan perlu membabitkan pengambilan tanah," katanya.

Berita Harian X