Isnin, 13 Februari 2017 | 8:10pm

Bina groin atau pemecah ombak atasi hakisan Pantai Mengabang Telipot

DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman melawat hakisan pantai yang semakin teruk berikutan ombak besar di kampung Kolam. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman melawat hakisan pantai yang semakin teruk berikutan ombak besar di kampung Kolam. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu sedang menunggu laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung pembinaan pemecah ombak atau benteng hakisan bagi menangani masalah hakisan di Pantai Mengabang Telipot, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata JPS perlu melakukan kajian terperinci bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung kejadian hakisan pantai di kawasan terbabit yang semakin teruk kebelakangan ini.

Beliau berkata, buat sementara ini JPS sudah mengambil beberapa langkah awal termasuk menambak kawasan pantai yang mengalami hakisan teruk.

"Sekarang, kita ada dua pilihan iaitu membina pemecah ombak atau benteng hakisan di kawasan ini bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.

"Namun, kita sedang menunggu laporan terperinci daripada JPS untuk menentukan kaedah mana yang akan digunakan bagi menangani hakisan pantai di Mengabang Telipot," katanya selepas meluangkan masa 45 minit meninjau hakisan di Pantai Mengabang Telipot, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, pihaknya difahamkan kira-kira 70 meter kawasan pantai dihanyutkan ombak dalam tempoh sebulan dan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku akibat fenomena alam sehingga menyebabkan hakisan terus berlaku.

"Sebagai langkah penyelesaian sementara, kerajaan negeri bersetuju untuk membina dinding pantai eperti mana yang dibuat di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan. Kita lihat konsep itu berkesan untuk mengurangkan masalah hakisan di kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X