Khamis, 29 Disember 2016 | 2:11pm

RM1.2 juta projek menambak pantai

AHMAD Razif (dua dari kiri) ketika melawat jambatan pada majlis Perasmian Penyambungan Terakhir Projek Jambatan di Jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
AHMAD Razif (dua dari kiri) ketika melawat jambatan pada majlis Perasmian Penyambungan Terakhir Projek Jambatan di Jambatan di atas Sungai Terengganu ke Pulau Sekati, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM1.2 juta untuk melaksanakan projek menambak pantai dan membina pulau jadian bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam, Kuala Nerus, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata peruntukan itu diluluskan bagi membolehkan projek berkenaan dilaksanakan segera sementara menunggu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selesai melakukan kajian dan reka bentuk pembinaan benteng pemecah ombak membabitkan peruntukan keseluruhan RM120 juta.

Katanya, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM40 juta untuk kerja penyambungan projek pembinaan benteng pemecah ombak bermula dari Pantai Tok Jembal sehingga ke Tanjung Gelam.

"Secara keseluruhan, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM120 juta untuk melaksanakan projek pembinaan benteng pemecah ombak bermula dari Pantai Teluk Ketapang ke Pantai Tok Jembal hingga ke Kampung Tanjung Gelam," katanya selepas merasmikan projek penyambungan Jambatan Pulau Sekati, di sini, pagi ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau, Ir Rosli Othman serta Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Datuk Basir Ismai.

Ketika mengulas kejadian hakisan di Pantai Tanjung Gelam, Ahmad Razif berkata, kejadian itu berlaku disebabkan fenomena ombak besar yang menyebabkan beberapa rumah dan bangsal nelayan rosak teruk.

Katanya, sebelum pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Tanjung Gelam dilaksanakan, kajian secara terperinci perlu dilakukan bagi mengelak kejadian hakisan pantai merebak ke lokasi lain terutama di pantai Batu Rakit.

Berita Harian X