Isnin, 14 November 2016 | 3:53pm

Kilang pemborong dikesan simpan lebihan bekalan minyak masak

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan amaran terhadap sebuah syarikat pemborong minyak masak yang didapati menyimpan bekalan sehingga 30 metrik tan bernilai RM120,000, hari ini.

Tindakan pemborong minyak masak itu menyimpan dalam botol di stor ditemui ketika pemeriksaan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa diketuai Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun.

Ab Ghani dalam sidang media selepas pemeriksaan itu, berkata pengurus kilang berkenaan sudah diberi amaran supaya mengeluarkan bekalan berkenaan untuk diagihkan ke semua pasar raya di negeri ini yang kini mengalami kekurangan bekalan.

"KPDNKK akan mengadakan lawatan susulan esok dan jika bekalan minyak masak itu masih disimpan, pihak berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika mereka gagal mengeluarkan bekalan minyak itu untuk diagihkan, maka lesen sebagai pemborong akan ditarik balik. Dalam pemeriksaan itu kami dapati banyak lambakan minyak masak yang disimpan dalam ribuan kotak," katanya.

Ab Ghani berkata, mana-mana pemborong tidak boleh menyimpan stok bekalan sekarang kerana hasil pemeriksaan di pasar raya mendapati minyak masak agak berkurangan dan menyukarkan pembeli untuk mendapatkannya.

Berita Harian X