Jumaat, 10 Jun 2016 | 3:54pm

3 pemenang cabutan bertuah The Store dirai

TIGA pemenang cabutan bertuah peraduan "Belanja dan Menang Kemeriahan Musim Perayaan 2015/2016" diraikan kumpulan The Store dalam satu majlis penyampaian hadiah di Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
TIGA pemenang cabutan bertuah peraduan "Belanja dan Menang Kemeriahan Musim Perayaan 2015/2016" diraikan kumpulan The Store dalam satu majlis penyampaian hadiah di Kota Bharu, hari ini. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Kumpulan The Store meraikan tiga pemenang cabutan bertuah peraduan "Belanja dan Menang Kemeriahan Musim Perayaan 2015/2016" dalam satu majlis penyampaian hadiah di sini, hari ini.

Tiga pemenang cabutan bertuah yang diumumkan pada 6 Mei lalu di Sungai Buloh, Selangor itu mendapat kereta Perodua MyVi bagi tempat pertama, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing mendapat kereta Proton Saga dan Perodua Axia.

Penolong Pengurus Kanan Pacific Hypermarket & Department Store Sdn Bhd, Steven Chew Chin Kheong, berkata majlis yang diadakan itu bagi meraikan pemenang yang bertuah dan membawa pulang hadiah mereka hari ini.

"Tujuan peraduan itu diadakan bagi menghargai pelanggan setia yang menjadi pendokong sehingga kami mampu menjadi antara pasar raya terkenal selama 48 tahun beroperasi," katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan The Store, William Tang Chee Weng. Turut hadir, Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor dan Pengarah Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek.

Sementara itu, pemenang tempat pertama, Chiam Lili, 46, tidak menyangka mendapat hadiah kereta Perodua MyVi pada peraduan itu selepas 10 tahun menjadikan pasar raya berkenaan untuk membeli belah.

"Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya agak terkejut dan sukar percaya apabila memperoleh sebuah kereta yang diakui harga begitu mahal, namun mendapat secara percuma.

"Sudah 10 tahun saya menjadikan The Store sebagai pasar raya untuk membeli belah sehinggalah hari ini memenangi kereta. Kereta ini saya akan berikan kepada anak yang sedang menuntut di salah sebuah kolej swasta," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Berita Harian X