Ahad, 20 Disember 2015 | 6:45pm
KEADAAN ombak yang kuat di sekitar perairan Terengganu menyebabakan pesisir pantai di Kampung Tanjung Gelang mengalami hakisan yang teruk. - Foto Syahirah Abdullah
KEADAAN ombak yang kuat di sekitar perairan Terengganu menyebabakan pesisir pantai di Kampung Tanjung Gelang mengalami hakisan yang teruk. - Foto Syahirah Abdullah

Hakisan pantai ancam penduduk

PENGERUSI Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara (KTU), A Rahman Abu Bakar menunjukkan sebuah chalet yang runtuh akibat angin kencang dan ombak yang kuat di Kampung Tanjung Gelang. - Foto Syhairah Abdullah
PENGERUSI Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara (KTU), A Rahman Abu Bakar menunjukkan sebuah chalet yang runtuh akibat angin kencang dan ombak yang kuat di Kampung Tanjung Gelang. - Foto Syhairah Abdullah

KUALA NERUS: Kira-kira 65 penduduk membabitkan 30 rumah di Kampung Mengabang Telipot, di sini, tidak tidur lena dan berada dalam ketakutan berikutan masalah hakisan pantai yang semakin buruk sejak Oktober lalu.

Lebih membimbangkan, jarak rumah paling dekat dengan hakisan hanya sejauh lima meter saja berbanding sebelum ini kira-kira 800 meter. 

Malah, banyak harta benda musnah akibat dihanyutkan ombak seperti wakaf, bot dan sampan nelayan, termasuk yang terbaru sebuah dari tiga rumah inap D-Nees2, di sini, roboh kira-kira jam 12.30 pagi Khamis lalu.

Pekerja chalet berkenaan, Sulaiman Muda, 40, berkata hakisan pantai dan ombak serta angin kuat menyebabkan benteng dan beberapa struktur di kawasan berkenaan runtuh. 

"Kami terkejut apabila sebuah rumah inap di sini runtuh sama sekali akibat hakisan dan ombak kuat. Malah, beberapa struktur benteng berhampiran bernilai RM40,000 juga rosak," katanya ketika ditemui hari ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara, Abdul Rahman Bakar, 66, yang juga generasi ketiga tinggal di kawasan pantai itu, berkata kejadian berkenaan yang pertama dialaminya dipercayai akibat kerja tambakan dijalankan di Pantai Tok Jembal serta pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

"Banyak harta benda dihanyutkan. Kami sedikit lega apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membina tambakan batu menghalang hakisan ini merebak ke kediaman penduduk.  Namun, kita masih bimbang kerana hakisan ini semakin hampir terutama setiap kali ribut dan ombak pasang besar," katanya yang ditemui, di sini.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Yunus, 70, yang tinggal di Kampung Tanjung Gelam, berkata sekalipun nyawa kini terancam, mereka hanya mampu berserah dan tetap memberanikan diri tinggal di rumah masing-masing dan  berharap pihak berwajib dapat menangani masalah ini dengan segera.

 

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Mengabang Telipot, Datuk Hassan Ali berkata, pihaknya bercadang membina bangunan dikenali sebagai rumah darurat sebagai penempatan sementara kepada penduduk setempat yang dilanda musibah. 

Katanya, rumah sementara itu dibina untuk meringankan beban penduduk setempat yang ditimpa musibah seperti kehilangan rumah akibat kebakaran, ditimpa pokok akibat ribut dan mangsa hakisan pantai.

"Rumah darurat akan dibina menjelang akhir tahun depan di dalam kawasan Masjid Kampung Mengabang Telipot, di sini, sebagai penempatan sementara kepada penduduk setempat yang dilanda musibah. 

Berita Harian X