Rabu, 5 Julai 2017 | 6:08pm

3 EXCO diarah tangani 'air termenung'

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada sidang media Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada sidang media Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh. - Foto NSTP/Khairunisah Lokman

AYER KEROH: Tiga Ahli EXCO Kerajaan Negeri diarah mencari punca kejadian 'air termenung' atau air bergenang disebabkan banjir kilat yang berlaku pada hari kedua Syawal, bulan lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, berkata EXCO berkenaan adalah Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (Kerja Raya dan Kemudahan Awam), Datuk Hasan Abd Rahman (Pertanian dan Pembangunan Usahawan) dan Datuk Ismail Othman (Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar).

Beliau berkata, mereka juga perlu menyelesaikan segera masalah air bertakung selepas banjir, yang menyebabkan mangsa sukar menjalani aktiviti pembersihan kediaman, selain mengakibatkan barangan perabot dan elektrik rosak.

"Tugas mereka (EXCO) mencari punca situasi 'air termenung' di kawasan banjir dan menyelesaikannya. Biasanya, kejadian seperti itu akan berlaku disebabkan keadaan sesetengah lokasi yang rendah dari paras air seperti di Tehel, Jasin.

"Saya difahamkan, terdapat longkang di kawasan itu tidak diselenggara dengan baik, sedangkan kawasan sungai di Tehel baru saja diselenggara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri, hari ini.

Justeru, katanya, tiga EXCO berkenaan perlu duduk semeja dan turun padang untuk melihat punca banjir di beberapa kawasan di negeri ini, sama ada disebabkan sistem saliran rosak, tersumbat atau keadaan sungai cetek serta tidak diselenggara dengan baik.

Berita Harian X