Jumaat, 23 Disember 2016 | 10:09pm
MOHD Faiz Subri, 29, (kiri) penyerang Liga Malaysia dari Pulau Pinang gembira menunjukkan kepada isterinya Norzawanis Hashim, 29, ketika melihat laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menyiarkan senarai rasmi tiga calon terakhir termasuk jaringan Faiz bagi merebut Anugerah Puskas ketika ditemui di kediamannya, Batu Uban, Gelugor. - Foto Danial Saad

Debaran Anugerah Puskas 2016 makin terasa

TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (kiri) menyampaikan anugerah Penghormatan Khas - FIFA Puskas Award Finalist kepada Faiz Subri (kanan) pada majlis penyampaian Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 di Hotel Geno. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership, Kevin Ramalingam (tengah). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Debaran Anugerah Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang menyaksikan jaringan ajaib Mohd Faiz Subri tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah Puskas, sudah mula dirasai seluruh rakyat Malaysia.

Berbaki 17 hari sebelum anugerah yang dijadual berlangsung pada 9 Januari depan, gol yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' jaringan penyerang Pulau Pinang itu terus mendapat perhatian dan sokongan warga netizen di media sosial.

Rata-rata netizen tidak putus meluahkan rasa bangga dan berharap anugerah itu menjadi milik beliau, sekali gus mencipta sejarah menjadi warga Asia pertama memenanginya.

Seorang pengguna aplikasi Twitter, @RichmanHazim berkata, "Tinggal 3 minggu sebelum Anugerah FIFA 2016, tak sabar nak melihat gol Faiz Subri diumumkan sebagai juara. Sangat bangga!".

"Faiz Subri adalah kebanggaan Malaysia, marilah kita beramai-ramai mendoakan kejayaan beliau di anugerah FIFA 2016 nanti," demikian kata Siti Norasah Ahmad dalam entri akaun Facebooknya.

Rata-rata netizen juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengundi Mohd Faiz bagi membolehkan beliau meraih anugerah itu.

Seorang lagi pengguna aplikasi Twitter, @dayangsuhana_ berkata, "There are three finalists and Faiz Subri is one of them. Come on Malaysian, do something for your country!".

Sementara itu, Jeff Pittz dalam entri akaun Facebooknya berkata: "Hurry!, Just a few more days to couting...let's vote for that great goal by our hero, Faiz Subri."

"C'mon guys! undi saudara Faiz Subri ni. Saya nak tengok beliau dengan bangganya cakap Melayu di pentas antarabangsa," demikian tweet @Ghazikhayat.

Gol ajaib Mohd Faiz itu bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak tempatan, malah turut membuka mata peminat bola sepak seluruh dunia.

Ia dibuktikan apabila video gol pencalonan itu di laman YouTube terus mendahului dua pesaing utamanya.

Setakat 2.30 petang ini, video jaringan Mohd Faiz, yang pertama kali dimuat naik oleh FIFATV pada 21 November lalu terus mencuri tumpuan apabila ditonton 2,137,908 pelayar seluruh dunia.

Jumlah itu jauh meninggalkan dua pesaing utama iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1,351,227 tontonan) dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1,053,840 tontonan).

Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas, yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun telah dimenangi beberapa bintang dunia, antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.

Peminat bola sepak tempatan masih berpeluang mengundi jaringan Mohd Faiz melalui laman web rasmi FIFA, www.fifa.com sebelum nama pemenang diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan. - BERNAMA

Berita Harian X