Sabtu, 30 Julai 2016 | 6:36pm

Lulu Hypermarket lancar Fiesta Makanan 2016

KUALA LUMPUR: Rangkaian pasar raya terbesar dari Asia Barat, Lulu Hypermarket melancarkan Fiesta Makanan 2016 yang bermula pada 28 Julai sehingga 9 Ogos depan.

Festival yang berlangsung selama 14 hari itu di pasar raya berkenaan menyediakan pelbagai jenis makanan yang berbeza termasuk 15 jenis nasi beriani dari seluruh negara dengan harga murah iaitu RM10 hingga RM15 setiap kilogram (kg).

Pengarah Serantaunya, Asif Moidu Ahamed, berkata pesta itu mengalukan kedatangan bagi mereka yang gemar akan makanan yang berbeza dari negara lain untuk merasai masakan berkenaan.

"Tujuan kita mengadakan pesta ini bagi mendidik pelanggan mengenai tabiat makanan yang berbeza selain mendapatkan pandangan mereka mengenai pelbagai cara masakan antarabangsa dan bahan masakan yang berbeza.

"Sepanjang pesta ini, kami menawarkan beberapa promosi sehingga 35 peratus diskaun ke atas harga makanan terpilih semasa pesta. Antaranya masakan dan makanan tradisional, makanan timur, Melayu, India (muslim) dan tarikan utama makanan dari Asia Barat," katanya dalam sidang media selepas Majlis pelancaran Fiesta Makanan 2016, di pasar raya Lulu Hypermarket, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengurus Serantau Lulu Hypermarket, Shihab N Yousaf dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Feroz Mohamed Jakel.

Asif berkata, sepanjang pesta terbabit, banyak aktiviti tarikan lain turut diadakan seperti demonstrasi secara langsung memasak, pertandingan kuiz, pameran dan jualan.

"Setiap hujung minggu dalam tempoh pesta ini, Lulu Hypermarket akan memasak satu jenis masakan dalam kuantiti besar untuk diedarkan kepada pelanggan yang datang.

"Seperti hari ini (semalam), kita membuat kek sepanjang 10 meter dengan seberat 22 hingga 25 kg yang dimasak khas daripada empat chef kami iaitu dari Dubai, Chef Rajaramar dan tiga dari Malaysia," katanya.

Beliau berkata, minggu berikutnya pihaknya akan memasak sandwich besar untuk diedarkan kepada pelanggan secara percuma.

"Kita berharap melalui pesta makanan ini, dapat mendekatkan  pelanggan untuk beli-belah di sini, terutama bagi pencinta makanan untuk mereka merasai pelbagai jenis makanan dari negara berbeza.

Info

Pasaraya Lulu Hypermarket dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 25 Jun 2016.

Berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berita Harian X