Jumaat, 27 Januari 2017 | 9:25pm

Kios burger, reban ayam, hasil kebun semua hanyut

RAMLAN menunjukkan rumah tapak semaian benih dan kebunnya yang ditenggelami air banjir di Kampung Padang Serai, Pantai Remis. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI
RAMLAN menunjukkan rumah tapak semaian benih dan kebunnya yang ditenggelami air banjir di Kampung Padang Serai, Pantai Remis. - Foto NOOR HIDAYAH TANZIZI

PANTAI REMIS: "Kios burger disumbangkan Yayasan Bina Upaya turut dihanyutkan air bersama semua kelengkapan memasak, kerusi dan meja," kata Ramlan Abd Rani, mangsa banjir di Kampung Padang Serai di sini.

Beliau berkata, banjir turut menyebabkan dia tidak sempat menikmati hasil kebun sayur diusahakannya di kawasan seluas 0.4 hektar apabila tanaman seperti cili, kunyit, serai, keledek dan ubi kayu yang baru diusahakan musnah.

"Batas dan beg baja serta anak benih semua musnah, tidak tinggal apa langsung manakala rumah tapak semaian anak benih juga ditenggelami air.

"Saya menanggung kerugian lebih RM5,000 termasuk kos penyelenggaraan dan 40 kampit baja yang dihanyutkan arus selepas ban Sungai Beruas pecah kerana kebun saya berada berdekatan sungai itu," katanya di sini.

Ramlan, 37, yang kini menumpang sementara di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai di sini berkata, reban ayam kampung berhampiran kebunnya juga ditenggelami air dan ternakannya itu hanya berbaki lima ekor berbanding lebih 20 ekor untuk dibiakkan.

"Saya reda menerima dugaan ini, namun rasa sedih juga kerana hasrat untuk merasai hasil modal pertama atas usaha di kebun tidak kesampaian.

"Ketika banjir berlaku saya dalam kelam kabut dan tidak teringat untuk menyelamatkan anak benih dan ayam di reban kerana sibuk mengambil dokumen penting," katanya.

Berita Harian X