Rabu, 9 November 2016 | 4:49pm

KPDNKK rampas 2,520kg minyak masak bernilai RM33,000

JAMAL memeriksa stok minyak masak yang dirampas di sebuah pasar raya di Seriab. - Foto Eizairi Shamsudin
JAMAL memeriksa stok minyak masak yang dirampas di sebuah pasar raya di Seriab. - Foto Eizairi Shamsudin

KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 2,520 kilogram (kg) minyak masak bernilai kira-kira RM33,000 dalam serbuan di sebuah pasar raya di Seriab, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Jamal Nor Ahmad Harun, berkata dalam serbuan jam 7.10 petang itu, minyak masak terbabit dirampas selepas siasatan mendapati stok disimpan melebihi lesen runcit dibenarkan untuk premis berkenaan.

"Kita dapati sejumlah besar minyak masak yang disimpan di premis itu melebihi had lesen runcit iaitu maksimum 1,000kg pada satu masa.

"Justeru KPDNKK terpaksa menyita minyak masak berkenaan membabitkan 1,500kg dalam bentuk botol lima kilogram dan 1,020kg dalam bentuk paket sekilogram keseluruhannya bernilai RM33,000," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Jamal berkata, siasatan awal mendapati penyelia premis mendakwa pasar raya terbabit tidak menyembunyikan stok, sebaliknya dua pembekal minyak masak menghantar bekalan bahan asas itu secara serentak.

"KPDNKK akan mengenal pasti motif premis itu menyimpan stok berlebihan dan pada masa sama, turut menjalankan siasatan lanjut dakwaan penyelia terbabit.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun ," katanya.

Rampasan dibuat KPDNKK ini adalah yang kedua pada bulan ini selepas merampas 1,400kg minyak masak di sebuah kedai runcit di Chuping, dekat sini, Sabtu lalu

Berita Harian X