Ahad, 30 April 2017 | 12:04am
JURUPANDU, Hairy Helmi Mustaffa (tengah bertopi) menunjukkan tanda laluan trek kepada pendaki ke puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek
JURUPANDU, Hairy Helmi Mustaffa (tengah bertopi) menunjukkan tanda laluan trek kepada pendaki ke puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek
SEORANG peserta mengalami kekejangan otot ketika ekspedisi Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek
SEORANG peserta mengalami kekejangan otot ketika ekspedisi Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek

Menguji mental, fizikal ke puncak Gagau

SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau bergambar kenangan di puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Pembaca
SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau bergambar kenangan di puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Pembaca

RAMAI pendaki kurang mengenali Gunung Gagau yang terletak dalam Taman Negara Terengganu Tasik Kenyir yang sebenarnya memiliki keunikan tersendiri kerana terletak di sempadan tiga negeri dan menyimpan fosil berusia ratusan juta tahun.

Peluang mendaki gunung ini anjuran Kelab Eksplorasi FELDA Jerangau Barat (KELEK_JB) dan Majlis Belia FELDA Jerangau Barat membolehkan 20 peserta daripada pelbagai latar belakang kerjaya mencabar mental dan fizikal masing-masing melalui laluan berliku merentasi sempadan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Pendakian Gunung Gagau juga bukan calang-calang kerana perlu mendaki dan menuruni beberapa anak bukit serta batang balak tumbang selain laluan yang mengelirukan dan sememangnya memerlukan jurupandu (guide) yang berpengalaman.

SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau anjuran Kelab Eksplorasi FELDA Jerangau Barat (KELEK_JB). - Foto Ihsan Team Kelek
SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau anjuran Kelab Eksplorasi FELDA Jerangau Barat (KELEK_JB). - Foto Ihsan Team Kelek

Bermula dari Pangkalan Gawi

Jurupandu, Ahmad Khairil Azam Yaacob atau Abang Mat bersama dua lagi rakannya, Khairuddin Abdul Rashid (abang K) dan Hairy Helmi Mustaffa (Ijatt) mengakui kurangnya publisiti mengenai pendakian Gunung Gagau walaupun memiliki keistimewaan tersendiri termasuk flora dan fauna serta sejarah penemuan fosil.

"Jalan ke puncak Gunung Gagau memang sukar kerana treknya panjang dan perlu mendaki dan menuruni permatang anak bukit selain balak yang tumbang di sepanjang laluan. Pendaki perlu peka dengan penanda yang disediakan di sepanjang trek.

"Hutan dara Taman Negara Terengganu Tasik Kenyir ini masih terpelihara dan pendaki berpeluang melihat pelbagai spesies flora dan fauna sepanjang laluan sejauh kira-kira 32 kilometer pergi dan balik bermula dari kem Sungai Cicir hingga ke puncak selain berdiri di titik sempadan tiga negeri," katanya.

Ekspedisi bermula di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir dan peserta menaiki rumah bot yang mengambil masa perjalanan kira-kira enam jam untuk sampai ke kem Sungai Cicir tempat pendakian bermula. Pendaki juga boleh menyewa bot laju yang mengambil masa dua jam untuk sampai ke situ.

Menduga kekuatan kaki

Selepas melakukan senaman regangan, peserta memulakan perjalanan ke kem A atau Kem Sungai Pak Chau bermula jam 4 petang sejauh kira-kira enam kilometer yang mengambil masa enam hingga tujuh jam.

Kira-kira jam 10 malam, sampai ke Kem A untuk berehat dan membersihkan diri di sungai berhampiran. Cuaca sejuk dan kedinginan air sungai tidak menghalang peserta untuk merendam kaki dan mandi serta membuang pacat selain serangga parasit yang menghisap darah iaitu kutu babi atau pirah dalam dialek Terengganu yang banyak di sepanjang laluan trek.

Keesokannya, kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Gagau kira-kira jam 10 pagi sejauh 12 kilometer yang benar-benar menduga kekuatan kaki untuk melalui laluan berbukit dan mengharungi balak termasuk risiko kekejangan otot untuk sampai ke puncak kira-kira jam 6.30 petang.

PESERTA bergambar di batu sempadan tiga negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan pada trek laluan ke puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek
PESERTA bergambar di batu sempadan tiga negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan pada trek laluan ke puncak Gunung Gagau. - Foto Ihsan Team Kelek

Berisiko untuk tersesat

Puncak Gunung Gagau tidak mempunyai pemandangan 360 darjah atau 180 darjah kecuali di batu sempadan tiga negeri.

Batu itu terletak kira-kira sejam perjalanan sebelum tiba di puncak.

Penyelaras program yang juga Bendahari KELEK_JB, Azizie Che Aziz berkata, antara halangan yang perlu dilalui pendaki ialah balak yang tumbang dan merentangi laluan kerana ia boleh menyebabkan pendaki terkeluar dari trek dan berisiko untuk tersesat.

"Pendaki tidak digalakkan terpisah jauh antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati ketika mengambil lencongan," katanya.

SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau menikmati hidangan tengahari di rumah bot. - Foto Abdul Razak Raaff
SEBAHAGIAN peserta ekspedisi Gunung Gagau menikmati hidangan tengahari di rumah bot. - Foto Abdul Razak Raaff

Kurang dikenali, kos tinggi

Azizie berkata, Gunung Gagau mungkin kurang dikenali dalam kalangan pendaki kerana memerlukan kos agak tinggi terutama pengangkutan untuk merentasi Tasik Kenyir perlu menyewa rumah bot atau bot laju.

Namun, bagi mereka yang mendaki gunung ini berpeluang meneroka keindahan Tasik Kenyir seperti melawat Gua Bewah, Gua Taat, Air Terjun Lasir dan Santuari Kelah selain boleh memancing dengan bayaran minimum.

INFO:

* Tasik Kenyir adalah sebuah tasik buatan manusia yang terbina akibat takungan air dari Empangan Kenyir yang siap dibina pada tahun 1985.

* Mempunyai kawasan takungan air seluas 38,000 hektar

* Memiliki 340 pulau jadian yang asalnya ialah kemuncak bukit yang tidak ditenggelami air.

* Jarak perjalanan dari Pangkalan Gawi ke Pangkalan Sungai Cicir ialah 47 kilometer

* RM1,200 hingga RM1,500 sewa bot laju untuk 8-10 orang

* RM3,000 hingga RM6,000 sewa house boat mengikut jumlah orang dan saiz

Berita Harian X