Jumaat, 23 Jun 2017 | 12:41pm

Anggota peras ugut warga asing berdepan tindakan

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada sidang media Majlis Penutup OP Selamat 9/2016 Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). - Foto Muhammad Asyraf Sawal
TIMBALAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada sidang media Majlis Penutup OP Selamat 9/2016 Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS). - Foto Muhammad Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: Lapan anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya yang ditahan susulan penemuan sejumlah wang ketika pemeriksaan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada Selasa lalu, berdepan tindakan digantung tugas.

 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, tindakan tegas itu akan diambil sekiranya siasatan membuktikan mereka terbabit dalam aktiviti salah laku yang jelas melanggar integriti pasukan polis.

Katanya, setakat ini siasatan terhadap semua mereka masih berjalan bagi mengenal pasti dari mana sumber wang itu diperoleh dan berapa ramai antara mereka yang terbabit.

"Lapan anggota itu ada di dalam bilik ketika JIPS membuat serbuan itu dan pemeriksaan menjumpai sejumlah wang yang dikatakan diperoleh daripada kegiatan memeras ugut pendatang asing.

"Kita sedang siasat perkara itu dan sekiranya terbukti mereka melakukan kesalahan, kita akan dakwa di mahkamah dan selepas itu baru ambil tindakan menahan (menggantung) tugas.

"Buat masa ini, mereka menjalankan tugas seperti biasa. Kita tunggu dalam masa seminggu dua ini, jika hasil siasatan mendapati mereka terbabit secara serius dalam kegiatan itu, sudah tentu tindakan tatatertib akan diambil," katanya pada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Mes Pegawai Bukit Aman, di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, salah satu peranan JIPS adalah melakukan pemantauan terhadap semua anggota bagi memastikan mereka mematuhi standard ditetapkan, justeru mana-mana anggota yang didapati melanggar disiplin tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan.

Pada jam 11.50 malam Selasa lalu, sepasukan anggota JIPS Bukit Aman melakukan pemeriksaan di sebuah bilik di IPD Ampang Jaya susulan laporan oleh seorang lelaki warga Myanmar mendakwa anggota trafik meminta RM1,500 jika mahu rakannya warga Indonesia dibebaskan.

Kedua-dua mereka sebelum itu ditahan kira-kira jam 4 petang ketika menunggang motosikal di Jalan Wawasan, Ampang dan

pemeriksaan dokumen ke atas lelaki Indonesia itu mendapati dokumen perjalanannya sudah tamat tempoh.

Lelaki berusia 33 tahun itu hanya membayar RM500 kepada anggota terbabit kerana tidak mempunyai jumlah yang diminta sebelum rakannya dibebaskan.

Hasil pemeriksaan JIPS di dalam bilik berkenaan menemui wang lebih RM18,000 disembunyikan di bawah meja selain sejumlah lagi wang di dalam poket dan beg milik salah seorang anggota yang dipercayai diperoleh hasil pemerasan ke atas warga asing yang ditahan sebelum itu.

Berita Harian X