Jumaat, 14 April 2017 | 12:51pm

3 pemancing dikhuatiri hilang

 SEBUAH bot yang dinaiki tiga orang dilaporkan hilang semasa keluar memancing sekitar di perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya serta Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Maritim Wilayah Sabah Dan Labuan.
SEBUAH bot yang dinaiki tiga orang dilaporkan hilang semasa keluar memancing sekitar di perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya serta Pulau Mengalum, Kota Kinabalu. - Foto Ihsan Maritim Wilayah Sabah Dan Labuan.

KOTA KINABALU: Tiga pemancing dikhuatiri hilang selepas tidak kembali ke pangkalan sejak keluar di sekitar perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya dan Mengalum di sini, pagi semalam.

Mohd Wapie Said, 34; Amsiran Mijan, 55; dan Malik Awang, 40 dilaporkan keluar memancing pada jam 7 pagi semalam menggunakan bot jenis gentian kaca berukuran lima meter panjang berwarna putih.

Mereka dijadualkan pulang jam 9 malam tadi, namun ketiga-tiga mangsa tidak muncul sehingga pagi ini.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Karamunsing, di sini pada jam 7.30 pagi tadi bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesan mangsa.

Pengadu berkata, beliau cuba menghubungi pemancing berkenaan pada jam 11 malam tadi tetapi gagal.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10 pagi tadi.

"Sebuah bot iaitu Pengawal 20 ditugaskan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian. Operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan penduduk kampung," katanya.

Berita Harian X