Isnin, 26 Disember 2016 | 4:13pm

Nahas bas: Pemandu kedua diturunkan di Pulau Pinang

NAHAS bas ekspres yang mengorbankan 14 orang di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara Selatan, Sabtu lalu. - Foto Rasul Azli Samad
NAHAS bas ekspres yang mengorbankan 14 orang di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara Selatan, Sabtu lalu. - Foto Rasul Azli Samad

JOHOR BAHRU: Pemandu kedua yang ditugaskan bersama pemandu utama bas ekspres yang terbabit nahas dan mengorbankan 14 orang di Pagoh, Sabtu lalu, tidak berada dalam kenderaan itu ketika kemalangan.

Pemandu kedua itu dikatakan diturunkan selepas bas keluar dari Terminal Bas Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang, sehari sebelum kejadian berkenaan.

Pemandu utama iaitu Allahyarham Zakeer Zubir menurunkan pemandu kedua, Muhammad Saufee bagi membolehkannya membawa isteri, Miaseh Kemart, 20-an dan anaknya, Nur Natasha Zahara, 1, menaiki bas berkenaan ke Johor sebelum berpatah balik.

Ketua Penyelia Wilayah Selatan Goldstar Ekspres (M) Sdn Bhd, Steven Chong, berkata syarikat itu sedang menyiasat perkara berkenaan berikutan pemandu kedua disahkan sudah berada di dalam bas sebelum kenderaan itu keluar dari terminal berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan di laman sosial kononnya syarikat tidak menyediakan pemandu kedua atau gantian yang menjadi viral, bukan saja tidak benar, malah akan mengeruhkan keadaan.

"Syarikat tidak akan mengambil risiko membenarkan bas dipandu oleh seorang pemandu dan ada dasar tidak membenarkan bas keluar terminal jika tiada pemandu kedua atau gantian.

"Pemeriksaan oleh kakitangan syarikat sebelum bas ekspres berkenaan keluar dari Terminal Bas Sungai Nibong mendapati pemandu kedua, Mohamad Saufee, sudah berada di dalam bas.

"Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa ke atas semua mangsa yang maut dan cedera mendapati pemandu kedua tiada," katanya kepada BH.

Chong berkata, siasatan syarikat kemudian mendapati Mohamad Saufee diturunkan oleh Zakeer selepas bas itu keluar Terminal Bas Sungai Nibong kerana akan membawa pemandu kedua lain.

"Perkara itu tidak berlaku, sebaliknya dia membawa isteri dan anaknya," katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu syarikat memaksa pemandu bas bekerja tanpa rehat kerana pihaknya menyediakan pemandu kedua bagi membolehkan pemandu utama berehat dengan cukup.

"Tidak adil masyarakat terus mengecam serta menuduh syarikat kejam dan tidak berhati perut kerana memaksa pemandu bas bekerja tanpa rehat hanya berdasarkan maklumat tidak benar menerusi media sosial," katanya.

Sejak kelmarin, klip rakaman audio terakhir Allahyarham Zakeer, yang mendakwa dia memandu bas ekspres berseorangan menjadi viral di media sosial.

Ia menyebabkan masyarakat menuduh syarikat bas kejam kerana memaksa kakitangan bekerja tanpa henti dan rehat mencukupi sehingga tragedi itu berlaku.

Antara petikan klip rakaman audio berbunyi: "Kena terimalah hari ini pula jammed (kesesakan jalan raya) pula... ni jalan sorang je bro. Nak pi Johor tu, tak apalah. Hari ni saya bawa mem (isteri) dan anak teman. Tak adalah kot letih sebab depa (mereka) ada. Tengok depa nanti ada syok sikit."

Sementara itu, Chong berkata, syarikat bas sedang mengesan Mohamad Saufee, yang sehingga kini belum menghubungi syarikat.

Berita Harian X