Ahad, 25 Disember 2016 | 4:52pm

Isteri pemandu bas alami gangguan emosi serius

MUAR: Isteri pemandu bas yang maut dalam nahas bas ekspres di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) awal pagi semalam, mengalami trauma dan gangguan emosi serius berikutan kematian suami serta anak bongsunya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat, berkata wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Miaseh Kemart, 20-an, mengalami kemurungan dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Katanya, pihak hospital sedang sedaya upaya memberi rawatan terbaik termasuk rawatan kaunseling kepada wanita berkenaan.

"Miaseh mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki kiri juga masih lemah dan tidak mampu bertutur dengan jelas berikutan gangguan emosinya.

"Beliau juga enggan berinteraksi mahu pun menerima pelawat, mungkin berikutan trauma akibat kehilangan suami dan anak bongsunya sekelip mata.

"Dokumen pengenalan diri Miaseh juga tidak ditemui pasukan keselamatan di lokasi kejadian. Bagaimanapun kita akan beri rawatan terbaik kepadanya supaya pulih seperti sedia kala," katanya pada sidang media di HPSF selepas meninjau keadaan mangsa nahas yang masih dirawat.

Yang turut hadir, Pengarah HPSF, Dr Selahudden Abdul Aziz.

Dalam nahas jam 3.45 pagi semalam, suami Miaseh yang juga pemandu bas ekspres malang itu, Zakeer Zubir, 32, dan anak bongsunya, Nur Natasha Zahara,1, adalah antara 14 orang yang terkorban dalam kejadian nahas berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, Johor.

Ayub juga berkata, selain Miaseh, seramai empat penumpang bas yang cedera masih dirawat di HPSF.

"Empat penumpang lain yang masih dirawat ialah R Nagadevan, 32, (Malaysia), Kesavan, 26, (Malaysia), R Govindra, 50, (India) dan Zaw Oo, 20, (Myanmar).

"Walaupun mereka mengalami kecederaan parah namun keadaan semuanya stabil," katanya.

Katanya, lima penumpang warga Singapura yang cedera juga sudah dipindahkan ke hospital di Singapura semalam manakala bakinya juga sudah dibenarkan pulang.

Berita Harian X