Ahad, 25 Disember 2016 | 3:42pm

'Bas seolah-olah terbang'

MUAR: "Masa tu saya masih sedar dan ketika kejadian itu bas itu boleh dikatakan terbang, sebelum masuk ke dalam gaung," kata mangsa tragedi bas ekspres Alisan yang terselamat, R Nagadevan, 32.

Beliau yang mengalami kecederaan parah pada kedua-dua belah kaki, patah tulang belakang serta rusuk dan menerima jahitan pada bahagian mulut, berkata nahas itu berlaku dengan pantas dan amat menakutkan.

"Ketika bas terjunam ke dalam gaung itu, majoriti penumpang terhumban ke bahagian hadapan bas dan menghimpit satu sama lain. Kedudukan kami memang terhimpit dan saya berada di kedudukan paling atas.

"Kejadian itu menyebabkan tulang belakang dan rusuk saya patah. Selain itu kedua belah kaki saya juga cedera, selain turut mengalami kecederaan pada mulut hingga terpaksa dijahit," katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, hari ini.

Terdahulu lima mangsa tragedi bas ekspress di Kilometer 137.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Pagoh di sini turut menerima lawatan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Ditanya mengenai detik sebelum kemalangan berlaku, Nagadevan berkata beliau menaiki bas terbabit kira-kira jam 2 pagi di Terminal Bas Larkin di Johor Bahru.

"Bas sepatutnya tiba jam 1 pagi, tapi dah terlewat dan berasa agak tidak sedap hati. Tetapi faham dengan musim perayaan saya terima sahaja dan naiki bas terbabit.

"Bas terbabit dipandu dengan agak laju dan kebanyakan penumpang di dalam bas juga sudah tidur," katanya.

Sementara itu, penumpang warga Myanmar, Zaw Oo, 20-an, berkata beliau tidak dapat mengingati kejadian itu kerana sudah tidur di tempat duduknya di bahagian belakang bas.

"Saya kurang ingat kerana tidak sedarkan diri. Saya hanya tahu ada orang mengangkat saya dan berada di hospital," katanya

Berita Harian X