Ahad, 25 Disember 2016 | 2:41pm

Bapa jalankan upacara pengebumian Renugah

KLANG: Kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan V Renugah, mangsa kemalangan bas ekspres di Pagoh awal pagi semalam, menziarahi kediaman keluarga wanita itu, di sini bagi memberikan penghormatan terakhir.

Suasana di perumahan di Taman Bayu Perdana, di sini, muram sementara ahli keluarga dan rakan keluarga mangsa menunggu upacara pengebumian dijalankan.

Abang kedua mangsa, Srinivasan, 31, berkata upacara keagamaan dan pengebumian akan dijalankan bapanya, K Velautham, 65, petang ini.

"Mayat mendiang adik saya tiba di rumah pada jam 11.30 malam tadi.

"Upacara pembakaran mayat adik akan dijalankan pada jam 4 petang nanti di Krematorium Simpang Lima, Klang," katanya ketika ditemui.

Ditanya keadaan ibunya, K Sinnamah, Srinivasan berkata, beliau masih bersedih

Mendiang Renugah maut dalam nahas bas ekspres di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, Pagoh, Johor pagi semalam ketika dalam perjalanan untuk pulang bercuti di rumah keluarganya di sini.

Turut terbabit dalam kemalangan itu, teman lelakinya, R Kesevan, 25, yang mengalami patah tulang dan masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Berita Harian X