Ahad, 25 Disember 2016 | 12:08pm

Nahas bas: Semua mayat mangsa sudah dituntut

MUAR: Semua 14 mayat nahas kemalangan ngeri membabitkan bas ekspres di Kilometer 137.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, awal pagi semalam, sudah dituntut ahli keluarga dan waris masing-masing.

Sejak tengah hari semalam, perkarangan Forensik Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dipenuhi keluarga mangsa nahas bas ekspres itu bagi proses pengecaman dan tuntutan.

Malam tadi, enam mayat mangsa iaitu Nor Saidatul Akmal Idris, Nur Amira Izzaty Mohd. Razip, G Palanivelan, V Renugah, Zakeer Zubir dan anaknya, Nur Natasya Zahara sudah dituntut keluarga masing-masing.

Mayat lima mangsa iaitu Suriyah Abd Hamid,Au Poh Kiew termasuk tiga warga Singapura, Faridah Tamron, Hazimah Mustafa dan Hamimah Mammu, pula dituntut keluarga masing-masing tengah malam sehingga awal pagi tadi.

Mayat tiga lagi mangsa termasuk warga India, Abdullah Hadi Yusof, Wong Koh Chan dan Mohd Hisham Wahab pula dituntut keluarga kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Jenazah Mohd Hisham akan dihantar ke Kampung Rawai, Marang, Terengganu manakala Kok Chan ke Tokong Heamlam Toh Tong di Seremban, Negeri Sembilan

Jenazah Abdullah Hadi pula dijangka dikeluarkan esok selepas proses dokumentasi selesai sebelum dihantar pulang ke Tiruchirappalli, Tamil Nadu, India.

Berita Harian X