Sabtu, 24 Disember 2016 | 4:45pm

Nahas bas: Syarikat akan bantu mangsa

NAHAS bas ekspres di Kampung Jayo, Jalan Kangkar Senangar dekat Pagoh, awal pagi tadi.
NAHAS bas ekspres di Kampung Jayo, Jalan Kangkar Senangar dekat Pagoh, awal pagi tadi.

MUAR: Syarikat pengendali bas ekspres Alisan, Goldstar Ekspress (M) Sdn Bhd, akan memberi bantuan sewajarnya kepada semua mangsa yang terbabit dalam nahas di Kilometer 137.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Kampung Jayor, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Penyelia Wilayah Selatannya, Steven Chong, 52, berkata pihak syarikat akan cuba membantu terutama dalam menguruskan mangsa yang cedera dan juga urusan berkaitan pengendalian jasad mangsa yang terbabit dalam nahas itu.

"Selain itu, kita juga akan membantu urusan tuntutan insurans bagi setiap mangsa dan pada masa sama bersedia membantu urusan penghantaran jasad mangsa ke kampung halaman masing-masing," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, di sini, hari ini.

Chong berkata, syarikatnya yang sudah beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu itu juga akan turut mengambil tanggungjawab membantu semua perkara diperlukan mangsa atau waris mereka.

Ditanya mengenai pemandu bas terbabit, beliau berkata mangsa dikenali sebagai Zakeer Zubir, 32, berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dan bekerja di syarikat bas terbabit kira-kira sebulan lalu.

"Bas ekspres itu sepatutnya bertolak pada jam 12.30 tengah malam tadi dari Terminal Bas Larkin di Johor Bahru, tetapi dilewatkan jadualnya sehingga jam 1.30 pagi.

"Ini kerana bas berkenaan digunakan untuk perjalanan sebelum itu iaitu dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Terminal Larkin. Namun disebabkan kesesakan trafik, bas terbabit lewat tiba dan perlu direhatkan terlebih dahulu sebelum trip seterusnya," katanya.

Berita Harian X