Sabtu, 24 Disember 2016 | 12:56pm

Nahas bas: Abang bersyukur adik hanya alami luka kecil

KERJA membersihkan lokasi nahas bas ekspres di KM137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara giat dijalankan.
KERJA membersihkan lokasi nahas bas ekspres di KM137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara giat dijalankan.

MUAR: "Alhamdulillah, adik saya hanya cedera ringan," kata Mohd Juzaimy Zakaria yang amat bersyukur kerana adiknya selamat dalam nahas bas ekspres di KM137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan Kawasan Rehat Dan Rawat Pagoh, awal pagi ini.

Katanya, beliau terus bergegas ke sini sebaik menerima telefon daripada adiknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu, sambil menyatakan rasa amat simpati dengan keluarga mangsa lain.

"Adik saya juga anak bongsu daripada empat beradik kini menjalani latihan praktikal di sebuah hospital pakar KPJ di Johor Bahru," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, tempat adiknya dirawat.

Mohd Juzaimy, 34, berkata beliau sepatutnya mengambil adiknya di Seremban, kerana ada perjumpaan keluarga.

Katanya, adiknya memberitahu ketika kejadian dia sedang tidur dan hanya tersedar apabila terpelanting ke bahagian depan dan mendapati banyak penumpang turut tersepit di kawasan sama.

Hasil siasatan awal polis mendapati bas dipercayai dipandu laju lalu terjunam ke dalam curam sedalam kira-kira 10 meter sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayo.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada 3.59 pagi dan tiba di tempat kejadian 45 minit kemudian bersama 27 anggota dan tiga jentera. Operasi selesai sepenuhnya pada 7.10 pagi tadi.

Sebanyak 14 penumpang maut dalam nahas itu terdiri daripada enam lelaki dan lapan perempuan termasuk seorang kanak-kanak.

Sementara 16 penumpang lagi cedera terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, enam warga Singapura (lima lelaki dan seorang perempuan), dua lelaki warga Myanmar dan seorang perempuan yang belum dikenal pasti identitinya. - BERNAMA

Berita Harian X